Ahad, 18 April 2021 | 12:15pm
Sidang kemuncak AS-Jepun di Rumah Putih di Washington yang banyak menyentuh isu China mencetuskan kemarahan Beijing. - Foto EPA
Sidang kemuncak AS-Jepun di Rumah Putih di Washington yang banyak menyentuh isu China mencetuskan kemarahan Beijing. - Foto EPA

Kedutaan China beri amaran kepada Jepun

TOKYO: Kedutaan Besar China di Jepun semalam memberi amaran kepada Tokyo supaya tidak membelakangkan hubungan dua hala dan terjerat dalam pertembungan kuasa besar.

Amaran itu dibuat selepas Jepun dan Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan kenyataan bersama yang secara terang terangan mencampuri urusan dalaman China mengenai isu Taiwan, Hong Kong dan Xinjiang.

"Baru-baru ini, Jepun secara berterusan bertindak negatif berhubung isu berkaitan China, dengan serius merosak kepercayaan politik bersama antara kedua belah pihak.

"Ini mengganggu usaha kedua-dua pihak untuk mengembangkan hubungan dua hala," kata seorang jurucakap kedutaan dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai balasan kepada kenyataan bersama Jepun-AS berikutan pertemuan antara Presiden AS, Joe Biden dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga.

Kenyataan itu mengandungi rangkaian pelbagai tuduhan terhadap China, yang paling ketara ialah berhubung pendirian China dalam isu Taiwan.

Ini kali pertama pemimpin Jepun dan AS merujuk Taiwan dalam kenyataan bersama sejak pertemuan antara Eisaku Sato dan Richard Nixon pada 1969, sebelum China dan Jepun menjalin hubungan diplomatik.

Jurucakap China berkata, Beijing mengeluarkan kenyataan serius terhadap Jepun dan AS atas tuduhan tidak berasas mereka dan membidas campur tangan dalam urusan dalaman selain pelanggaran wilayah serta kedaulatan China.

"China akan terus mengambil semua langkah perlu untuk menjaga kedaulatan, keamanan dan kepentingan pembangunannya dengan tegas.

"Kedudukan China mengenai isu Laut China Timur dan Laut China Selatan berasaskan dasar sejarah serta perundangan yang mencukupi," katanya.

"Tuduhan AS dan Jepun bahawa China melanggar perintah antarabangsa adalah tidak berasas kerana dunia hanya patuh kepada satu set peraturan hubungan antarabangsa ditetapkan piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.

Menurut kenyataan sama, perikatan AS-Jepun yang diatur negara terbabit tidak boleh menyasarkan atau merosakkan kepentingan pihak ketiga dan kedegilan terus berpegang kepada mentaliti Perang Dingin hanya merugikan semua pihak akhirnya.

Justeru, kedutaan itu mendesak Jepun dan AS menyingkirkan fahaman membentuk pakatan kecil bagi menghasut pertembungan politik kerana strategi tidak relevan dengan perkembangan semasa dan pasti akan gagal.

Pihak Kedutaan China turut meminta Jepun mematuhi prinsip dan komitmen yang digariskan oleh empat dokumen politik kedua-kedua negara, untuk menghindari pergolakan dan menjejaskan hubungan dua hala. - AGENSI

Berita Harian X