Sabtu, 17 April 2021 | 4:40pm
Australia melaporkan kematian pertama berkaitan pembekuan darah ke atas penerima suntikan vaksin AstraZeneca. - Foto AFP
Australia melaporkan kematian pertama berkaitan pembekuan darah ke atas penerima suntikan vaksin AstraZeneca. - Foto AFP

Australia teruskan kajian semula vaksin COVID-19

NEW SOUTH WALES: Menteri Kesihatan, Greg Hunt, hari ini berkata, Australia akan meneruskan kajian semula vaksin COVID-19 selepas kematian wanita berusia 48 tahun yang mungkin berkaitan dengan inokulasi.

Semalam, Australia melaporkan kematian pertama berkaitan pembekuan darah ke atas penerima suntikan vaksin AstraZeneca.

Ini adalah kes ketiga pembekuan darah yang jarang terjadi kepada orang yang telah diberikan vaksin di negara itu.

"Kerajaan akan meminta ATAGI (Kumpulan Penasihat Teknikal Australia mengenai Imunisasi) untuk memastikan kajian berterusan terhadap semua vaksin dari segi keselamatan dan keberkesanannya," kata Hunt melalui taklimat di televisyen.

Strategi di New South Wales sedang dikaji menjelang mesyuarat kabinet nasional pada Isnin ini, yang juga kemungkinan akan membentangkan mengenai suntikan AstraZeneca kepada orang yang berusia lebih daripada 50 tahun.

Kerajaan persekutuan menghadapi kritikan berterusan atas kelewatan dalam program inokulasi negara, dengan Perdana Menteri, Scott Morrison, minggu ini menolak untuk menetapkan tarikh sasaran baru bagi semua rakyat Australia untuk menerima suntikan pertama mereka.

Kira-kira 1.2 juta rakyat negara itu daripada keseluruhan populasi 25.8 juta sudah menerima dos pertama vaksin.

Pentadbiran Barang Terapi (TGA) awal minggu ini menyatakan, setakat ini terdapat sekurang-kurangnya 885,000 dos vaksin AstraZeneca yang diberikan di Australia, bersamaan kekerapan berlakunya pembekuan darah dalam setiap 295,000 kes.

Hunt juga berkata, keputusan sama ada akan mengutamakan atlet dan staf sokongan dalam pemberian vaksin COVID-19 bagi Olimpik Tokyo akan segera diambil pada minggu akan datang.

"Kami ingin melihat Olimpiad ke Olimpik dan kami ingin melihat mereka selamat," katanya.

Kerajaan NSW melaporkan, tiada ada kes baharu COVID-19 yang diperoleh secara tempatan dalam 24 jam, dan tujuh kes baharu adalah membabitkan mereka yang tiba ke negara itu, menjadikan jumlah jangkitan ialah 5,181 kes. - AGENSI

Berita Harian X