Rabu, 14 April 2021 | 11:26am
(Gambar fail) Kemudahan pengayaan uranium di Natanz. - FOTO EPA
(Gambar fail) Kemudahan pengayaan uranium di Natanz. - FOTO EPA

Iran umum bakal tingkatkan pengayaan uranium

TEHRAN: Iran semalam memberi amaran akan memulakan proses pengayaan uranium hingga mencecah 60 peratus ketulenan.

Amaran itu menyusul dua hari selepas insiden letupan di kemudahan nuklear utama Iran di Natanz yang didakwa angkara Israel.

Pengumuman itu dilihat mengeruhkan keadaan ketika rundingan sedang diteruskan di Vienna dalam usaha menyelamatkan perjanjian nuklear 2015 antara Iran dengan kuasa dunia selepas ia dipinggirkan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, tiga tahun lalu.

Menurut Iran, pihaknya sudah memaklumkan kepada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa negara ini akan memulakan pengayaan uranium hingga mencapai kadar 60 peratus.

IAEA kemudian turut mengesahkan perkara itu.

Langkah itu bakal menyaksikan Iran semakin menghampiri nilai ambang ketulenan uranium untuk kegunaan tentera, iaitu 90 peratus.

Malah, ia dilihat berupaya memendekkan 'waktu rehat' penghasilan bom atom - matlamat yang dinafikan Iran.

Melalui perjanjian nuklear itu, Iran menyatakan komitmen untuk mengekalkan pengayaan uranium pada kadar 3.67 peratus, namun angka itu sudah menjangkau 20 peratus pada Januari lalu.

Israel yang tidak mengaku bertanggungjawab atas insiden letupan di Natanz, bagaimanapun menentang keras usaha Presiden AS, Joe Biden, untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear itu.

Perjanjian antara Iran dengan negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB, termasuk Jerman, menggariskan bahawa sekatan punitif terhadap Tehran akan ditarik balik dengan syarat Iran bersetuju mematuhi had ditetapkan ke atas program nuklearnya.

Sebelum ini, Israel berikrar untuk menghalang Iran daripada menghasilkan bom atom yang dianggap sebagai ancaman terhadapnya.

AS pula menzahirkan sokongan kepada Israel, namun kekal komited untuk meneruskan rundingan dengan Iran walaupun Tehran mengumumkan pelan pengayaan uranium.

Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki, tidak menafikan pihaknya bimbang dengan pengumuman disifatkan provokatif itu.

"Kami percaya bahawa saluran diplomatik ialah satu-satunya langkah ke hadapan.

"Justeru mengadakan rundingan, walaupun secara tidak langsung, adalah cara terbaik untuk mencapai penyelesaian," katanya. - AFP

Berita Harian X