Selasa, 13 April 2021 | 1:08pm
Gambar satelit menunjukkan loji pengayaan uranium di Iran yang menjadi sasaran serangan sabotaj Ahad lalu. FOTO AFP
Gambar satelit menunjukkan loji pengayaan uranium di Iran yang menjadi sasaran serangan sabotaj Ahad lalu. FOTO AFP

Iran ikrar teruskan aktiviti pengayaan uranium

TEHRAN: Iran menegaskan serangan di loji pengayaan uranium di kompleks Natanz tidak akan menjejaskan rundingan Vienna yang memberi tumpuan untuk menarik balik sekatan dikenakan terhadap negara itu.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, berkata Tehran akan memastikan rundingan Vienna diteruskan dan tidak terjejas akibat serangan berkenaan.

"Iran mesti mengelak daripada 'terjerat dalam perangkap' dirancang Israel," katanya.

Kementerian Luar Iran semalam menyatakan Israel menjadi dalang serangan di loji pengayaan uranium Natanz dan berikrar untuk membalas serangan berkenaan.

Pertubuhan Tenaga Atom Iran (IAEO) berkata, letupan kecil membabitkan sebahagian litar elektrik pada Ahad lalu disifatkan sebagai tindakan pengganas seperti diidakwa Kementerian Luar Negeri.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas perbincangan dilanjutkan di Vienna untuk menyelamatkan perjanjian nuklear Iran 2015 yang ditolak bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Sementara itu, Israel menolak terbabit dalam insiden itu tetapi laporan media di negara berkenaan mengaitkan serangan dilakukan perkhidmatan perisikan Israel yang menjalankan 'operasi siber'.

Dalam perkembangan berkaitan, Rumah Putih turut menafikan AS terbabit dalam serangan itu.

"Kami tidak mahu menambah spekulasi mengenai punca atau kesan serangan itu," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki.

Trump sebelum ini menarik diri daripada perjanjian multilateral pada tahun 2018 dan mengenakan semula sekatan terhadap Iran.

Penggantinya, Joe Biden berhasrat menghidupkan kembali kesepakatan di antara Iran dan enam negara utama dunia, yang meletakkan had bagi program nuklear Teheran sebagai balasan sekatan ekonomi ditamatkan. - AFP

Berita Harian X