Isnin, 12 April 2021 | 6:44pm
Gambar satelit menunjukkan fasiliti nuklear Natanz di Iran. - Foto AFP
Gambar satelit menunjukkan fasiliti nuklear Natanz di Iran. - Foto AFP

Israel didakwa dalang serangan loji nuklear Iran

TEHRAN: Kementerian Luar Iran hari ini menyatakan keyakinan Israel menjadi dalang serangan di loji pengayaan uranium Natanz semalam, dan berikrar untuk membalas serangan berkenaan.

"Sudah tentu rejim Zionis melalui serangan ini, cuba membalas dendam terhadap rakyat Iran yang kekal bersabar dan bijak berhubung penarikan sekatan Amerika Syarikat (AS), kata jurucakap kementerian, Saeed Khatibzadeh dalam sidang media.

Khatibzadeh secara tidak langsung menuduh Israel cuba merosakkan rundingan yang sedang berlangsung di Vienna, dalam usaha menghidupkan kembali perjanjian nuklear.

Insiden semalam itu yang disifatkan Iran sebagai 'tindakan keganasan antinuklear', berlaku sehari selepas Tehran memaklumkan negara itu sudah memulakan lanjutan pengayaan uranium di Natanz, yang melanggar komitmen Iran dalam perjanjian 2015.

AS menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 dan mengenakan semula sekatan terhadap Iran, yang memaksa negara itu bertindak balas dengan usaha yang melanggar komitmennya dalam perjanjian berkenaan.

Terdahulu, jurucakap organisasi tenaga atom Iran dilaporkan berkata, insiden di Natanz berpunca daripada 'kegagalan jana kuasa', tanpa membabitkan kecederaan atau pencemaran.

Menurut Khatibzadeh, serangan itu menjejaskan beberapa program pengayaan uranium generasi pertama IR-1' 'yang akan digantikan dengan alat yang lebih canggih'.

Beliau berikar dan menyatakan tindak balas Iran terhadap serangan itu adalah 'balas dendam terhadap rejim zionis', dan ia akan dilakukan pada bila-bila masa.

"Jika matlamat serangan itu untuk mengganggu usaha menarik sekatan terhadap Iran, ia sama sekali tidak tercapai," katanya.

Insiden di loji nuklear Iran berlaku susulan bermulanya rundingan di Vienna pada Selasa lalu, yang memfokuskan untuk menarik sekatan yang dikenakan AS ketika pentadbiran Donald Trump, serta memastikan Iran kembali mematuhi perjanjian nuklear. - AFP

Berita Harian X