Isnin, 12 April 2021 | 9:46am
Gambar satelit menunjukkan fasiliti nuklear Natanz di Iran. - Foto AFP
Gambar satelit menunjukkan fasiliti nuklear Natanz di Iran. - Foto AFP

Agensi atom Iran dakwa fasiliti nuklear diserang 'pengganas'

TEHRAN: Agensi tenaga atom Iran semalam mendakwa fasiliti nuklear Natanz menjadi sasaran pengganas walaupun selepas beberapa jam sebelumnya berkata berlaku kemalangan akibat masalah bekalan kuasa di negara itu.

Tragedi berlaku sehari selepas republik Islam itu mengumumkan proses uranium diperkayakan di fasilitinya, sekali gus melanggar perjanjian yang ditandatangani pada 2015 dengan beberapa negara lain.

Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran, Ali Akbar Salehi, mengecam perbuatan sia-sia cuba mensabotaj program nuklear negara itu dan mendesak masyarakat antarabangsa menentang keganasan anti-nuklear itu.

"Serangan ini dilakukan oleh 'penentang kemajuan industri dan politik Iran', yang bertujuan mencegah pembangunan pesat industri nuklear," katanya tanpa mendedahkan negara atau entiti di sebalik sabotaj yang sudah dijangkakan itu.

Terdahulu, Jurucakap IAEO, Behrouz Kamalvandi, yang dipetik agensi berita rasmi, Fars, dilaporkan berkata kemalangan di fasiliti pengeluaran uranium diperkayakan itu berlaku akibat masalah bekalan tenaga.

"Kemalangan disebabkan oleh sebahagian litar elektrik di kemudahan memproses uranium di kompleks Natanz dekat Tehran.

"Bagaimanapun, tiada sesiapa yang cedera atau berlaku sebarang pelepasan bahan radioaktif," katanya.

Namun, jurucakap Suruhanjaya Tenaga Parlimen Iran, Malek Chariati, menerusi Twitter, mendakwa wujud perbuatan sabotaj.

"Kejadian terbabit berlaku sehari selepas Hari Teknologi Nuklear Nasional, ketika Iran berusaha menekan Barat menarik balik sekatan dan amat disyaki sebagai sabotaj atau penyusupan," katanya.

Sabtu lalu, Presiden Iran, Hassan Rouhani, merasmikan projek memperkaya uranium dan dua loji ujian di Natanz, dalam sebuah majlis yang disiarkan oleh televisyen negara.

Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata perjuangan menentang Iran dan proksi serta usaha persenjataan Iran adalah satu misi besar. - AFP

Berita Harian X