Ahad, 11 April 2021 | 7:39pm
Imej satelit menunjukkan fasiliti nuklear Iran di Natanz yang terletak di selatan Tehran. - AFP
Imej satelit menunjukkan fasiliti nuklear Iran di Natanz yang terletak di selatan Tehran. - AFP

Kemalangan di fasiliti nuklear Iran, tiada korban jiwa, pencemaran

TEHRAN: Agensi berita Fars, yang memetik jurucakap agensi nuklear Iran, melaporkan kemalangan berlaku di sebuah fasiliti nuklear Iran tetapi tiada korban jiwa atau kerosakan.

Behrouz Kamalvandi berkata, kemalangan membabitkan sebahagian litar elektrik di kemudahan pengayaan uranium di kompleks Natanz, sehari selepas Iran mengumumkan bahawa ia memulakan usaha mengumpul uranium canggih di lokasi itu yang melanggar komitmennya di bawah perjanjian nuklear 2015.

Beliau berkata, tiada korban jiwa atau pencemaran dan penyebab kemalangan sedang disiasat serta lebih banyak perincian akan dikeluarkan kemudian.

Kemalangan itu berlaku susulan letupan di sebuah kilang emparan di Natanz Julai lalu.

Pihak berkuasa menyalahkan kejadian itu sebagai sabotaj oleh pengganas tetapi belum mengeluarkan hasil siasatan.

Presiden Hassan Rouhani hari ini merasmikan kilang penggantian di Natanz dan juga rangkaian bagi memperkaya uranium, dalam upacara yang disiarkan oleh televisyen seluruh negara.

Peralatan baru ini membolehkan Iran memperkaya uranium dengan lebih cepat dan dalam jumlah yang lebih tinggi, sehingga ke tahap yang melanggar perjanjian nuklear 2015.

Pentadbiran presiden Amerika Syarikat (AS) ketika itu, Donald Trump menarik diri daripada perjanjian multilateral pada 2018 dan mengenakan semula sekatan.

Iran kemudiannya bertindak balas dengan secara perlahan menarik balik komitmennya sendiri berdasarkan perjanjian itu.

Pihak dalam perjanjian itu membuka rundingan di Vienna Selasa ini dengan matlamat membawa AS kembali ke perjanjian itu, membawa Iran kembali patuh dan menarik balik sekatan. - AFP

Berita Harian X