Selasa, 6 April 2021 | 10:51pm
Anggota polis memantau proses pengundian di Tamil Nadu, India. - Foto AFP
Anggota polis memantau proses pengundian di Tamil Nadu, India. - Foto AFP

Keganasan hantui pilihan raya negeri di India

KOLKATA: Ketegangan kembali memuncak di Bengal Barat, negeri yang tidak asing kepada keganasan ketika berkempen, tatkala India mengadakan pilihan raya.

Proses demokrasi terbesar di dunia itu menyaksikan 175 juta pengundi yang layak keluar mengundi dalam pilihan raya di lima wilayah.

Dua orang terbunuh termasuk ibu seorang penyokong Parti Bharatiya Janata (BJP) dan seorang lelaki berusia 30-an yang juga anggota Parti Kongres Trinamool (TMC), kata polis.

Tembakan dilepaskan di luar beberapa tempat mengundi ketika pertempuran di kawasan luar ibu kota Kolkata, menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang cedera.

"Perbuatan ini adalah cubaan untuk menakutkan pengundi supaya tidak menghampiri pusat mengundi di ratusan kampung," kata anggota kanan parti BJP, Dilip Ghosh, kepada AFP.

Proses undian tetap dijalankan walaupun kes COVID-19 di India mencatatkan peningkatan dengan beberapa wilayah menguatkuasakan sekatan bagi mencegah penularan wabak itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pilihan raya di Bengal Barat adalah paling penting, dengan parti pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, BJP, berusaha keras untuk meraih kemenangan di wilayah itu buat julung kalinya.

Negeri yang dihuni sekitar 90 juta orang itu menyaksikan ribuan terbunuh dalam beberapa dekad keganasan politik dan kempen terbaru yang dijalankan turut mencetuskan perbalahan di antara penyokong BJP dan TMC sehingga mengakibatkan kematian.

TMC yang diketuai pengkritik kuat Modi, Mamata Banerjee, menuduh BJP berusaha untuk mengimport politik berpuak yang memecah belahkan ke negeri itu yang dihuni sebilangan besar minoriti Islam. - AFP

Berita Harian X