Sabtu, 3 April 2021 | 6:52pm
Bekas wakil rakyat Hong Kong, Lee Cheuk-yan (kanan), and Cyd Ho (kiri), menemui media di luar mahkamah di West Kowloon selepas mereka dan enam aktivis lain didakwa menganjurkan dan menyertai protes prodemokrasi terbesar pada Ogos 2019. - Foto EPA
Bekas wakil rakyat Hong Kong, Lee Cheuk-yan (kanan), and Cyd Ho (kiri), menemui media di luar mahkamah di West Kowloon selepas mereka dan enam aktivis lain didakwa menganjurkan dan menyertai protes prodemokrasi terbesar pada Ogos 2019. - Foto EPA

Hong Kong teliti latar belakang calon pilihan raya

HONG KONG: Latar belakang dan sejarah kehidupan setiap individu akan diteliti terlebih dulu sebelum dipilih sebagai calon wakil rakyat di hab kewangan ini.

Pegawai tertinggi kehakiman pulau itu berkata kaedah itu adalah sebahagian pembaharuan radikal untuk memastikan hanya golongan patriotik mentadbir negara.

Beijing memperkenalkan perubahan besar kepada sistem pilihan raya Hong Kong Selasa lalu, sebagai langkah terbaru membanteras gerakan demokrasi menganjurkan tunjuk perasaan besar-besaran yang sering bertukar ganas.

Pindaan terbaru Undang-Undang Dasar terhadap perlembagaan mini Hong Kong itu memastikan majoriti penggubal undang-undang dipilih oleh jawatankuasa pro-Beijing, dan setiap calon diperiksa dengan teliti oleh pegawai keselamatan nasional.

Setiausaha Kehakiman Hong Kong, Teresa Cheng, memberitahu stesen penyiaran RTHK bahawa jawatankuasa itu akan mempertimbangkan semua maklumat calon termasuk apa-apa yang disyaki boleh mempengaruhi kesetiaan mereka.

Tambah beliau, tiada sebarang had atau sekatan mengenai apa yang boleh dikaji, diteliti dan disiasat.

"Kami tidak dapat mengehadkan diri sepenuhnya dan menyatakan bahawa kami hanya akan mengkaji perkara terhad kepada tiga hingga lima tahun terakhir.

"Ini kerana kami harus mengkaji semuanya dalam konteks ... mungkin ada sesuatu berlaku 10 tahun lalu dan ada kaitan dengan apa yang mereka katakan semalam.," katanya.

Pemimpin China bertindak tegas memperketatkan kawalan mereka terhadap hab kewangan antarabangsa itu dengan merombak demokrasi Hong Kong selepas tunjuk perasaan besar-besaran pada 2019.

Mereka mengenakan undang-undang keselamatan nasional tahun lalu, yang mengharamkan perbezaan pendapat dan menamatkan beberapa aspek hak demokrasi yang dinikmati sebelum ini .

China melaksanakan peraturan terbaru itu kerana mendapati apabila warga Hong Kong dibenarkan memilih calon dalam pilihan raya tempatan, mereka cenderung memilih calon prodemokrasi yang membimbangkan Beijing.

Di bawah langkah baharu itu, badan perundangan Hong Kong akan diperbesarkan daripada 70 kepada 90 kerusi tetapi hanya 20 daripadanya akan dipilih secara langsung, berbanding 35 sebelum ini. - AFP

Berita Harian X