Jumaat, 2 April 2021 | 4:51pm
Institut Virologi Wuhan (WIV) kembali menjadi tumpuan berikutan gesaan masyarakat antarabangsa supaya teori berlaku kebocoran virus COVID-19 disiasat secara terperinci. - Foto AFP
Institut Virologi Wuhan (WIV) kembali menjadi tumpuan berikutan gesaan masyarakat antarabangsa supaya teori berlaku kebocoran virus COVID-19 disiasat secara terperinci. - Foto AFP

COVID-19: Beberapa negara tolak dapatan WHO

GENEVA: Data tidak didedahkan kepada penyiasat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang pergi ke China bagi menyelidik asal usul COVID-19 kini dipersoalkan.

Ia berikutan beberapa negara menolak hasil laporan rasmi pasukan pakar WHO itu kerana menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan mengenai coronavirus itu.

Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan beberapa negara Barat kini mendesak China memberi 'akses penuh' kepada pakar bebas antarabangsa ke atas kesemua data mengenai asal usul penularan yang berlaku pada akhir 2019 itu.

Dalam laporan akhir, yang ditulis bersama saintis China, pasukan pakar WHO meluangkan masa empat minggu pada Januari dan Februari lalu di dalam serta sekitar Wuhan, yang juga lokasi pertama COVID-19 dikesan.

Mereka merumuskan virus itu mungkin menular daripada kelawar kepada manusia menerusi spesies binatang lain, di samping menolak kemungkinan berlakunya kebocoran di makmal Institut Virologi Wuhan (WIV).

Namun, majoriti negara enggan menerima kesimpulan itu, malah Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, mahu isu itu disiasat lebih lanjut lagi terperinci, dengan lebih banyak misi ke China.

"Saya tidak percaya penilaian yang dilakukan ini adalah mendalam, kajian dan lebih banyak data diperlukan bagi mencapai kata putus lebih jelas," katanya kepada negara anggota dalam ucapan yang dikongsikan oleh WHO.

Salah seorang penyiasat dalam pasukan WHO berkata, China enggan memberi data asal bagi kes awal COVID-19 kepada pasukannya, sekali gus merumitkan lagi usaha untuk memahami bagaimana pandemik global itu bermula.

Tedros berkata, dalam perbincangannya, pasukan pakar WHO itu menzahirkan kesukaran yang dihadapi bagi mendapatkan data asal berkaitan virus itu.

"Saya jangka kerjasama penyelidikan di masa depan akan merangkumi data yang menyeluruh dan dapat dikongsikan bertepatan pada masanya.

"Ketidakupayaan misi WHO memuktamadkan di mana atau bagaimana virus ini mula merebak ke atas manusia bermakna persoalan bagaimana pandemik itu tercetus tidak akan terjawab.

"Kita tidak pasti sama ada China memberikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha mengetahui puncanya, atau seperti didakwa AS, EU dan beberapa negara, mencegah mereka daripada mengetahuinya," katanya.

Kesangsian itu disuarakan sekumpulan negara yang mengeluarkan kenyataan bersama menegur laporan pakar antarabangsa terhadap sumber virus SARS-CoV-2 itu, yang tertangguh agak lama.

Negara terbabit termasuk Australia, Kanada, Republik Czech, Denmark, Estonia, Israel, Jepun, Latvia, Lithuania, Norway, Korea Selatan, Slovenia, Britain dan AS selain EU.

Mereka juga kecewa dengan kekurangan akses bagi melengkapkan laporan dengan sampel dan data asli mengenai virus terbabit, yang berada dalam simpanan China. - AGENSI

Berita Harian X