Selasa, 30 March 2021 | 2:14pm
Presiden China, Xi Jinping. - Foto AFP
Presiden China, Xi Jinping. - Foto AFP

China lulus penambahbaikan sistem pemilihan Hong Kong

HONG KONG: Pemimpin China hari ini mengesahkan penambahbaikan sistem pemilihan di Hong Kong, dengan mengurangkan jumlah kerusi yang dipilih secara langsung dan memastikan majoriti anggota Parlimen di bandar itu akan dipilih jawatankuasa pro-Beijing yang boleh dipercayai.

Langkah baharu yang mengatasi badan perundangan Hong Kong dan dilaksanakan secara terus oleh Beijing itu adalah langkah terbaharu bertujuan menghentikan gerakan demokrasi di bandar berkenaan selepas tunjuk perasaan besar-besaran.

"Presiden Xi Jinping menandatangani arahan presiden untuk mengumumkan lampiran yang diubah," kata agensi berita rasmi China, Xinhua dalam sebuah laporan pendek.

Penduduk Hong Kong berjumlah 7.5 juta orang masih tidak pasti mengenai kandungan undang-undang baharu itu kerana belum ada perincian yang dikeluarkan.

Bagaimanapun, Tam Yiu-chung, satu-satunya perwakilan Hong Kong di Parlimen 'rubber-stamp' China, memberikan perincian mengenai kandungan langkah baharu berkenaan.

"Pindaan itu diluluskan sebulat suara oleh 167 anggota Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan," katanya kepada AFP.

Di bawah undang-undang baharu itu, badan perundangan Hong Kong akan diperluas daripada 70 hingga 90 kerusi.

Yiu-chung berkata, hanya 20 kerusi yang akan dipilih secara langsung, berbanding 35 sebelum ini.

Majoriti 40 kerusi akan dipilih jawatankuasa pro-Beijing yang boleh dipercayai.

Baki 30 akan dipilih 'kawasan yang berfungsi', badan yang mewakili industri tertentu dan kumpulan kepentingan khas yang juga setia kepada Beijing sejak dulu.

Sesiapa yang mencalonkan diri untuk pilihan raya juga harus diperiksa berhubung pandangan politik mereka.

Yiu-chung mendedahkan, jawatankuasa pemeriksaan akan dibentuk pihak berkuasa di Hong Kong dan sistem keselamatan nasional yang baharu di bandar itu boleh memberikan pendapat mengenai siapa yang akan diberikan kelulusan.

"Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan dan Polis Keselamatan Kebangsaan akan memberikan laporan mengenai setiap calon untuk membantu pemeriksaan oleh jawatankuasa semakan kelayakan," katanya. - AFP

Berita Harian X