Isnin, 22 March 2021 | 8:01pm
India merekodkan angka kes baharu COVID-19 tertinggi setiap hari dalam hampir empat bulan. - Foto AFP
India merekodkan angka kes baharu COVID-19 tertinggi setiap hari dalam hampir empat bulan. - Foto AFP

Kelonggaran kawalan, varian baharu punca lonjakan kes India

NEW DELHI: Pengarah Institut Sains Perubatan India (AIIMS) New Delhi, Dr Randeep Guleria, berkata lonjakan kes jangkitan COVID-19 di India baru-baru ini mungkin disebabkan oleh tindakan melonggarkan langkah berjaga-jaga dan timbulnya varian baharu yang lebih berbahaya.

"Sekarang orang ramai merasakan bahawa pandemik sudah berakhir kerana vaksin sudah ada. Oleh itu, mereka tidak lagi memakai pelitup muka dan berkumpul beramai-ramai.

"Ini menyebabkan ia merebak dengan cepat," kata Guleria kepada stesen televisyen tempatan Sabtu lalu.

"Faktor lain ialah prinsip dasar pengujian, pengesanan, dan pengasingan sudah tidak sama dengan apa yang dilakukan enam bulan yang lalu.

"Virus ini juga sudah bermutasi dan beberapa variannya lebih cepat menular," katanya.

Guleria memberi amaran bahawa pandemik itu akan merebak dengan lebih cepat sekiranya langkah perlindungan asas seperti memakai pelitup muka dan pengesanan kontak dengan lebih teliti tidak dilakukan.

Dalam tempoh 24 jam terakhir, India merekodkan 43,846 kes baharu, angka tertinggi setiap hari dalam hampir empat bulan.

Peningkatan jangkitan baru-baru ini mendorong negeri seperti Punjab, Maharashtra, Madhya Pradesh dan Tamil Nadu untuk meneruskan langkah kawalan termasuk penutupan sekolah, perhimpunan awam yang terhad, dan perintah berkurung di daerah yang paling teruk dilanda pandemik.

Menurut Kementerian Kesihatan, negeri Maharashtra, Punjab, Karnataka, Gujarat dan Madhya Pradesh menyumbang 77.7 peratus daripada kes COVID-19 baharu yang dilaporkan dalam 24 jam terakhir. - AGENSI

Berita Harian X