Sabtu, 20 March 2021 | 7:00pm
Gambar Pemantau Geologikal AS (USGS) menunjukkan lokasi gempa bumi kira-kira 34 kilometer ke barat Ishinomaki, Jepun. - Foto EPA
Gambar Pemantau Geologikal AS (USGS) menunjukkan lokasi gempa bumi kira-kira 34 kilometer ke barat Ishinomaki, Jepun. - Foto EPA

Gempa 7.2 magnitud landa Jepun, amaran tsunami dikeluarkan

TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tsunami hari ini susulan gempa bumi bermagnitud 7.2 pada skala Richter di kawasan pantai timur laut.

Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan selepas gempa bumi melanda pada jam 6.09 petang waktu tempatan di perairan Pasifik di wilayah Miyagi.

Gegaran dikesan pada kedalaman 60 kilometer (km) kata JMA, yang mengeluarkan amaran gelombang tsunami sekitar satu meter.

Operator tempatan sedang memeriksa status loji nuklear di wilayah itu sementara syarikat kereta api menghentikan perkhidmatan termasuk kereta api laju Shinkansen.

Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat (AS) pula meletakkan kekuatan gempa pada magnitud tujuh.

Amaran gempa bumi dan tsunami kali ini berlaku tidak lama selepas genap 10 tahun Jepun dilanda gempa bumi dengan magnitud sembilan pada 11 Mac 2011, yang mencetuskan tsunami dan kerosakan teruk di Fukushima.

Sebilangan penduduk berkata mereka sudah beredar ke tempat lebih tinggi sejurus selepas amaran itu dikeluarkan.

"Saya teringat hari itu (tsunami) 10 tahun lalu dan kerana pengalaman kami pada masa itu, saya bergerak dengan cepat, hati saya berdegup kencang," kata lelaki di kota Ishinomaki kepada penyiar nasional NHK.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan, menurut pegawai di pejabat pengurusan bencana Miyagi, Takashi Yokota.

"Kami belum menerima sebarang laporan mengenai kerosakan atau kecederaan berikutan gempa bumi dan amaran tsunami, namun kami masih mengumpulkan maklumat, "katanya.

Pihak Berkuasa Radiasi Nuklear menjelaskan tidak ada laporan mengenai kewujudan aktiviti luar biasa di fasiliti nuklear di kawasan itu.

Mereka juga mengesahkan tiada kerosakan dilaporkan di loji Fukushima Daiichi, loji nuklear Onagawa dan pelbagai kemudahan lebih kecil serta reaktor uji kaji nuklear.

Bulan lalu, wilayah itu digemparkan gempa kuat yang mencederakan puluhan orang, dengan ahli meteorologi mengatakan ia mirip kepada gempa susulan pada 2011.

Jepun antara negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, kawasan kerap dilanda gempa bumi merangkumi sebahagian Asia Tenggara serta merentas pelantar pasifik. - AFP.

Berita Harian X