Jumaat, 19 March 2021 | 7:36pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

ICC maklumkan Israel mengenai skop siasatan

TEL AVIV: Israel dilaporkan sudah menerima surat makluman rasmi daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menjelaskan skop penyiasatan jenayah perang terhadapnya di wilayah Palestin.

Pendedahan itu dibuat stesen penyiaran Channel 13, yang turut mengesahkan surat berkenaan tiba di Tel Aviv pada hujung minggu lalu.

Susulan itu, Majlis Keselamatan Nasional (NSC) regim Zionis itu mengadakan pertemuan tergempar bagi merumuskan maklum balas Tel Aviv.

Laporan berkenaan turut menyebut bahawa surat satu setengah halaman itu secara ringkas menghuraikan tiga perkara utama yang diberi perhatian.

Ia termasuk perang antara Israel dan Hamas pada 2014, dasar penyelesaian Israel dan protes Great March of Return pada 2018 serta siri demonstrasi ganas di sempadan Gaza yang menyaksikan puluhan penduduk Palestin terbunuh.

Israel diberi tempoh 30 hari untuk memberikan maklum balas, dengan Tel Aviv dijangka bersetuju menjawab surat berkenaan selepas sekian lama menolak untuk bekerjasama dengan mahkamah berpangkalan di The Hague, Belanda itu.

"Bagi Tel Aviv, ini adalah masa yang sesuai untuk memberikan hujah bahawa ICC tiada tiada bidang kuasa untuk mendengar kes terbabit," kata NSC.

Dalam pada itu, seorang anggota Knesset (Parlimen Israel) berharap pertikaian mengenai bidang kuasa ICC itu dapat dijadikan alasan bagi menangguhkan atau menghentikan sama sekali siasatan jenayah perang negara itu.

"Kami berharap penyiasatan jenayah perang di Palestin ditunda sehingga pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda, digantikan oleh peguam hak asasi manusia dari Britain, Karim Khan pada Jun depan," katanya.

Rejim Zionis sebelum ini berharap Khan, 50, tidak mengamalkan 'permusuhan' dengan Israel dan seterusnya menggugurkan kes berkenaan. - AGENSI

Berita Harian X