X
Sabtu, 13 March 2021 | 7:01pm
Perdana Menteri India, Narendra Modi (kiri); Presiden AS, Joe Biden (tengah) dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga kelihatan pada skrin ketika Sidang Kemuncak Quad secara maya. - Foto EPA
Perdana Menteri India, Narendra Modi (kiri); Presiden AS, Joe Biden (tengah) dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga kelihatan pada skrin ketika Sidang Kemuncak Quad secara maya. - Foto EPA

Sidang Quad mahu bendung sikap agresif China

TOKYO: Sidang Kemuncak Quad membabitkan empat negara sepakat untuk membendung sikap agresif China di wilayah Indo Pasifik, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden; Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga; Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison

membuat komitmen itu dalam persidangan secara maya hari ini.

Sidang julung kali itu membincangkan pencerobohan, kekerasan dan sikap agresif China berhubung tuntutan bertindih sempadan perairan laut di Indo Pasifik, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Penasihat Keselamatan Nasional AS, Jake Sullivan, dalam taklimat di Washington selepas rundingan itu, berkata keempat-empat pemimpin tertinggi itu mahu memberi mesej jelas kepada China.

"Keseimbangan kekuatan tentera laut Indo-Pasifik adalah multilateral, sekiranya kita tambah keupayaan maritim Australia, India, Jepun serta AS, pakatan kekuatan ini bertambah dan kita harap Beijing memahami semua ini dengan baik.

"Pada dasarnya, Quad mahu China memilih meja rundingan bagi menyelesaikan pertikaian, bukannya menggunakan kuasa tentera bagi menggertak atau mengugut negara di rantau ini.

"Antara lain, isu kekerasan China terhadap Australia, gangguan di sekitar Kepulauan Senkaku, pertikaian sempadan dengan India dan tuntutan bertindih sempadan maritim," katanya

Kumpulan Quad iaitu singkatan kepada Dialog Keselamatan Empat Hala, dalam kenyataan selepas mesyuarat itu menggesa semua pertikaian diselesaikan secara demokratik.

Mereka juga mahu semua pihak menghormati kebebasan pelayaran dan penggunaan ruang udara antarabangsa seperti mana dipersetujui masyarakat global.

"Kami terus berusaha untuk mewujudkan wilayah Asia Pasifik yang bebas, terbuka, inklusif, sihat dan menyelesaikan masalah berteraskan nilai demokratik, tanpa sebarang paksaan.

"Kami menyokong kedaulatan undang-undang, kebebasan pelayaran dan penerbangan, penyelesaian sengketa secara aman, nilai demokratik dan integriti wilayah

"Kami mengutamakan undang-undang antarabangsa mengenai maritim yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982," katanya.

Selain itu, keempat-empat negara turut bersetuju bekerjasama mengembangkan teknologi 5G dan teknologi canggih lain. - AGENSI

Berita Harian X