Khamis, 11 March 2021 | 6:37pm
Kapal pemusnah peluru berpandu AS kelas Arleigh Burke, USS John Finn, yang melakukan transit rutin merentasi lautan memisahkan daratan China dan Taiwan. - Foto Tentera laut AS
Kapal pemusnah peluru berpandu AS kelas Arleigh Burke, USS John Finn, yang melakukan transit rutin merentasi lautan memisahkan daratan China dan Taiwan. - Foto Tentera laut AS

Kapal perang AS merentasi Selat Taiwan

TAIPEI: Tentera laut Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kapal perangnya merentasi Selat Taiwan sehari selepas mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan China mahu ceroboh Taiwan.

Seorang komander tertinggi AS memberi amaran berhubung ancaman pencerobohan China ke atas Taiwan itu dan meramalkan ia mungkin berlaku dalam tempoh enam tahun.

Sehubungan itu, kapal pemusnah peluru berpandu kelas Arleigh Burke, USS John Finn, melakukan transit rutin semalam merentasi lautan yang memisahkan daratan China dan Taiwan, kata Armada Ketujuh AS.

"Pelayaran ini adalah yang ketiga sejak Presiden AS, Joe Biden, memegang jawatan, sekali gus menunjukkan komitmen AS ke atas Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka," katanya dalam satu kenyataan.

Kapal perang AS secara berkala melakukan latihan di selat berkenaan, sering mencetuskan kemarahan Beijing, yang mendakwa Taiwan dan perairan sekitarnya adalah sebahagian wilayahnya.

AS dan banyak negara lain menganggap laluan terbabit sebagai perairan antarabangsa yang terbuka untuk kegunaan semua orang.

Transit terbaru itu berlaku pada hari yang sama Beijing menuduh pegawai tertinggi tentera AS di Asia-Pasifik, Laksamana Philip Davidson, berusaha untuk mengancam kuasa ketenteraan China di wilayah terbabit.

Pada pendengaran jawatankuasa Senat sehari sebelumnya, Davidson mengingatkan AS akan kehilangan kuasa ketenteraan di Pasifik kepada China dan yakin dengan penilaiannya bahawa China akan menceroboh Taiwan dalam masa terdekat.

"Saya bimbang mereka (China) akan mempercepatkan cita-cita untuk menggantikan AS dan kepemimpinannya pada peringkat antarabangsa menjelang 2050.

"Ternyata Taiwan adalah salah satu cita-cita mereka... dan saya rasa ancaman itu akan berlaku pada dekad ini, dalam enam tahun akan datang," katanya.

Taiwan secara berterusan diancam pencerobohan oleh China, yang menganggap pulau itu sebagai sebahagian wilayahnya dan hanya menunggu untuk disatukan semula, jika perlu, secara paksa.

Tahun lalu, jet tentera China merekodkan 380 serangan ke atas zon pertahanan Taiwan, dengan beberapa penganalisis memberi amaran bahawa ketegangan antara kedua-dua pihak berada pada tahap tertinggi sejak pertengahan 1990-an. - AGENSI

Berita Harian X