Khamis, 11 March 2021 | 1:07pm
Seorang lelaki memberi penghormatan kepada mangsa yang terkorban dalam bencana gempa bumi yang mengakibatkan tsunami dan krisis nuklear pada 11 Mac 2011 di pantai
Seorang lelaki memberi penghormatan kepada mangsa yang terkorban dalam bencana gempa bumi yang mengakibatkan tsunami dan krisis nuklear pada 11 Mac 2011 di pantai

Jepun memperingati sedekad gempa bumi, tsunami

HISANOHAMA: Jepun hari ini memperingati bencana alam terburuk di negara itu, kejadian gempa bumi kuat yang mencetuskan tsunami dan krisis nuklear sehingga menyebabkan seluruh negara berada dalam trauma.

Kira-kira 18,500 orang terbunuh atau hilang dalam bencana yang berlaku 10 tahun lalu, kebanyakan mereka dibawa arus deras yang melanda kawasan pantai timur laut selepas terjadinya satu daripada gempa terkuat yang pernah direkodkan.

Krisis nuklear yang berlaku di loji nuklear Fukushima Daiichi menyebabkan kawasan berdekatan diliputi radiasi, menjadikan beberapa bandar kosong tidak berpenghuni selama bertahun-tahun dan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah.

Hari ini rakyat Jepun melakukan upacara persendirian dengan bertafakur sejenak tepat jam 2.46 petang waktu tempatan, iaitu saat gempa dengan kekuatan 9.0 pada skala Richter pada 11 Mac 2011 melanda negara itu.

Ketika matahari terbit di Hisanohama , wilayah Fukushima, Toshio Kumaki, 78 tahun, berjalan di sepanjang tembok laut raksasa yang dibangun selepas tsunami.

"Saya datang ke sini setiap pagi untuk berjalan-jalan, tetapi ini adalah hari yang istimewa," katanya kepada AFP sambil berdoa ke arah matahari terbit.

Kira-kira 60 orang terbunuh di Ohisa, satu daripada daerah yang berdekatan dengan pantai, ketika gelombang tsunami setinggi tujuh meter menghempas ke darat, menghancurkan segalanya kecuali sebuah kuil kecil.

Mata Kumaki bergenang dengan air mata ketika dia mengingati bencana itu.

"Itu sangat menakutkan," katanya.

Pada awal minggu ini, terdapat pencarian di wilayah Miyagi dan Fukushima bagi mereka yang masih hilang, kerana keluarga masing-masing masih berharap untuk menjumpai mereka.

Di Tokyo, upacara mengingati kejadian itu akan diadakan di Teater Nasional, dengan ucapan daripada Maharaja Naruhito dan Perdana Menteri Yoshihide Suga.

Tokyo dan kawasan sekitarnya kini berada dalam keadaan darurat COVID-19, menyebabkan jumlah tetamu yang diundang ke acara itu dihadkan.

Wabak itu juga mempengaruhi upacara di tempat lain, termasuk perhimpunan doa tahunan yang diadakan di atas tembok laut di bandar Taro di Iwate.

Orang ramai biasanya berpegangan tangan ketika mereka berdoa untuk mereka yang hilang dalam tsunami, tetapi tahun ini mereka akan mematuhi penjarakan fizikal.

Negara itu menerima ucapan takziah daripada seluruh dunia, termasuk Setiausaha Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres dan penyanyi Lady Gaga. - AFP

Berita Harian X