Sabtu, 6 March 2021 | 5:12pm
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga. - Foto AFP
Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga. - Foto AFP

Perintah darurat di Tokyo dilanjutkan 2 minggu

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, semalam memohon maaf kerana melanjutkan perintah darurat di kawasan sekitar Tokyo selama dua minggu, iaitu sehingga 21 Mac ini.

Meskipun menguatkuasakan langkah berjaga-jaga itu, beliau meminta orang ramai untuk sentiasa berwaspada terhadap sebarang risiko peningkatan kadar jangkitan dan penularan varian COVID-19.

Perintah darurat yang kini memasuki tempoh hampir dua bulan itu dilaksanakan kerajaan, selari usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 sebelum penganjuran Olimpik Tokyo yang bakal membuka tirai dalam masa empat bulan.

Suga berkata, perintah itu berkuat kuasa di Tokyo dan wilayah Kanagaw, Chiba serta Saitama, yang mempunyai jumlah keseluruhan penduduk kira-kira 36 juta orang.

Menerusi perintah darurat, kerajaan tempatan mengarahkan supaya bar dan restoran ditutup menjelang jam 8 malam, selain menasihatkan orang ramai untuk mengehadkan pergerakan sekiranya tidak mempunyai keperluan untuk berbuat demikian.

Pendekatan sedemikian dilihat mula membuahkan hasil apabila kadar penularan jangkitan COVID-19 di Jepun mula merekodkan penyusutan, namun ia memberikan kesan teruk terhadap industri peruncitan dan restoran.

Bercakap kepada media, Suga mengakui kes jangkitan COVID-19 mula berkurang, namun kadar penyusutan semakin perlahan.

"Ini kerana ada sesetengah tempat yang orang ramai masih keluar, justeru ia mengundang risiko peningkatan semula kes COVID-19.

"Tempoh dua minggu ini bukan sekadar untuk mengurangkan jumlah kes, tetapi bagi memantau perkembangan semasa," katanya.

Perintah darurat berikutan pandemik COVID-19 itu pada mulanya dilaksanakan di Tokyo pada Januari lalu, sebelum diperluaskan ke 11 lagi wilayah yang mewakili kira-kira 60 peratus daripada penjana keseluruhan ekonomi.

Ketika ini, hanya Tokyo yang masih kekal dalam senarai dikenakan perintah darurat berikutan peningkatan kes COVID-19 sehingga menjejaskan potensi ekonomi setempat.

Kerajaan Metropolitan Tokyo turut mempertimbangkan petunjuk tertentu seperti kadar kes purata mingguan menyusut sehingga ke paras bawah 140 kes, sebelum perintah darurat ditarik balik.

Berdasarkan perangkaan semasa setakat 4 Mac lalu, kadar jangkitan di Tokyo berada sekitar purata 269 kes.

Meskipun persediaan Olimpik Tokyo giat dilakukan, atlet luar masih tidak dibenarkan untuk memasuki Jepun bagi menjalani latihan masing-masing sepanjang perintah darurat berkuat kuasa. - AFP

Berita Harian X