Jumaat, 5 March 2021 | 10:02pm
Pengikut Mirwaiz melemparkan batu ke arah polis selepas solat Jumaat menuntut kebebasannya. - Foto EPA
Pengikut Mirwaiz melemparkan batu ke arah polis selepas solat Jumaat menuntut kebebasannya. - Foto EPA

Pembatalan pembebasan ulama cetus pertempuran

SRINAGAR: Ratusan penunjuk perasaan melemparkan batu ketika pertempuran dengan pasukan polis di Kashmir yang ditadbir India susulan pihak berkuasa membatalkan keputusan membebaskan ketua ulama islam wilayah itu daripada tahanan, kata polis dan saksi.

Pihak berkuasa mengenakan tahanan dalam rumah terhadap Mirwaiz Umar Farooq sejak Ogos 2019, apabila New Delhi menguatkuasakan peraturan langsung ke atas wilayah berpenduduk majoriti Muslim dan mengetatkan sekatan keselamatan perintah berkurung.

Semalam, ulama itu diberitahu beliau bebas meninggalkan rumahnya dan mengerjakan solat Jumaat di masjid utama di Srinagar, tetapi beberapa jam kemudian keputusan itu dibatalkan, kata parti politik imam itu.

"Bagaimanapun lewat malam tadi (semalam), pegawai polis mengunjungi kediaman Mirwaiz untuk memaklumkan kepadanya bahawa beliau harus terus berada dalam tahanan rumah," kata pihak itu dalam satu kenyataan.

Berang dengan keputusan itu, ratusan pengikut dan jemaah ulama meninggalkan masjid selepas solat Jumaat hari ini, melemparkan batu ke arah polis dan melaungkan slogan seperti 'Kami mahukan kebebasan' dan 'Bebas Mirwaiz', kata jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan akibat pertempuran itu, yang terjadi seminggu dalam perjanjian gencatan senjata antara tentera India dan Pakistan di sempadan Garis Kawalan (LoC) yang memisahkan wilayah yang dituntut oleh kedua-dua negara.

Perjanjian gencatan senjata di sempadan secara formal telah berlaku sejak 2003, namun sejak itu kedua-dua pihak saling menembak satu sama lain, membunuh tentera dan orang awam di kedua-dua bahagian. -AFP

Berita Harian X