Khamis, 4 March 2021 | 12:41pm
Byun Hee-soo ditemui mati di rumahnya di Cheongju, selatan Seoul. - Foto AFP
Byun Hee-soo ditemui mati di rumahnya di Cheongju, selatan Seoul. - Foto AFP

Anggota tentera pondan Korea Selatan ditemui mati

SEOUL: Agensi berita Yonhap melaporkan, seorang anggota tentera pondan Korea Selatan yang dipecat secara paksa daripada perkhidmatan selepas menjalani pembedahan pengesahan jantina, ditemui mati.

Anggota bomba menemui Byun Hee-soo di rumahnya di Cheongju, selatan Seoul, selepas seorang kaunselor kesihatan mental memanggil perkhidmatan kecemasan untuk melaporkan tiada khabar berita daripadanya sejak 28 Februari lalu.

Polis sedang menyiasat kematiannya. Hee-soo, bekas staff sarjan berusia 20-an, mendaftar secara sukarela untuk menjadi tentera pada 2017, dan menjalani pembedahan pengesahan jantina pada 2019 di Thailand.

Korea Selatan ialah negara yang konservatif mengenai masalah identiti seksual dan jantina serta kurang bertoleransi terhadap hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berbanding beberapa negara lain di Asia.

Kebanyakan golongan gay dan pondan di Korea tidak mendedahkan identiti mereka secara terbuka.

Kementerian Pertahanan mengklasifikasikan kehilangan alat kelamin lelaki sebagai satu kecacatan mental atau fizikal, dan panel tentera memutuskan pada awal 2020 bahawa Hee-soo akan diberhentikan secara paksa.

Hee-soo yang tidak mendedahkan identiti sebelum ini, tampil pada sidang media ketika itu memohon supaya terus dibenarkan berkhidmat dalam tentera.

Saya seorang askar Republik Korea," katanya dalam nada tertahan-tahan.

"Berkhidmat dalam tentera menjadi impian saya sejak kecil.

"Ketepikan identiti seksual saya, saya ingin menunjukkan kepada semua orang bahawa saya boleh menjadi seorang tentera hebat yang mempertahankan negara.

"Tolong beri saya peluang itu," katanya sambil menangis.

Ini adalah kes yang pertama seumpamanya di Korea Selatan.

Kumpulan hak asasi antarabangsa menyatakan kebimbangan mengenai cara negara itu memperlakukan askar gay, yang dilarang melakukan perlakuan seks sesama jenis dan boleh menghadapi hukuman penjara hingga dua tahun jika ditangkap, walaupun ia bukan satu kesalahan dalam kehidupan sivil. - AFP

Berita Harian X