Khamis, 4 March 2021 | 11:39am
Penduduk Palestin menangis melihat rumah yang musnah ketika pertempuran di Beit Hanun di Semenanjung Gaza pada 26 Julai 2014. - Foto AFP
Penduduk Palestin menangis melihat rumah yang musnah ketika pertempuran di Beit Hanun di Semenanjung Gaza pada 26 Julai 2014. - Foto AFP

Palestin sambut baik siasatan jenayah perang ICC

RAMALLAH: Palestin semalam menyambut baik keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague untuk menyiasat dakwaan jenayah yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin.

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, berkata negaranya menyambut baik keputusan ICC untuk 'meneruskan penyiasatan jenayah Israel dalam langkah yang telah lama ditunggu untuk mencapai keadilan bagi rakyat Palestin'.

"Kami berharap usaha serius di peringkat antarabangsa dapat memberikan keadilan kepada mangsa Palestin," kata al-Maliki dalam satu kenyataan, lapor agensi berita Xinhua.

Sementara itu, gerakan Islam Hamas juga memuji keputusan ICC.

Jurucakap Hamas di Semenanjung Gaza, Hazem Qassem, dalam satu kenyataan media menerusi emel berkata, Hamas menyambut baik keputusan pendakwa raya ICC untuk membuka siasatan terhadap jenayah yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

"Keputusan itu adalah langkah ke hadapan untuk menghukum pemimpin penjajahan (Israel) yang melakukan kejahatan perang terhadap rakyat kami," kata Qassem.

"Hamas meminta ICC supaya menolak sebarang tekanan yang berkemungkinan menghalangnya daripada mencari jalan penyelesaian untuk mencapai keadilan dan menerapkan undang-undang antarabangsa," katanya.

Terdahulu semalam, ketua pendakwa raya ICC, Fatou Bensouda, mengumumkan beliau sedang melancarkan siasatan terhadap tuduhan jenayah yang dilakukan oleh Israel di wilayah Palestin.

"Siasatan akan merangkumi jenayah dalam bidang kuasa mahkamah yang didakwa telah dilakukan dalam situasi terbabit sejak 13 Jun 2014, tarikh di mana rujukan dibuat ke pejabat saya," katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, siasatan akan dilakukan 'secara bebas, tidak berat sebelah dan objektif tanpa rasa takut atau pilih kasih'.

Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam bagaimanapun mengecam penyiasatan jenayah perang ICC terhadap dasar Israel di wilayah Palestin, menuduh mahkamah 'hipokrit dan anti-Semitisme' serta bersumpah untuk 'memperjuangkan kebenaran'.

Pada 2019, Bensouda menyatakan ada 'dasar yang munasabah' untuk membuka siasatan jenayah perang terhadap tindakan ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza dan juga aktiviti penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki. - BERNAMA

Berita Harian X