Isnin, 1 March 2021 | 8:10am
 Foto IIPA (Iran International Photo Agency) yang dirakamkan pada Ogos 2010 menunjukkan loji kuasa nuklear di Bushehr, selatan Iran.
Foto IIPA (Iran International Photo Agency) yang dirakamkan pada Ogos 2010 menunjukkan loji kuasa nuklear di Bushehr, selatan Iran.

Iran tolak runding perjanjian nuklear, nyatakan masa tak sesuai

TEHERAN: Iran menolak cadangan Eropah bagi mengadakan pertemuan tidak rasmi membabitkan Amerika Syarikat (AS) mengenai perjanjian nuklear 2015 yang menimbulkan kontroversi.

Iran menyifatkan ketika ini bukan masa sesuai bagi pertemuan itu diadakan berikutan Washington gagal menarik semula sekatan.

Pengarah politik Kesatuan Eropah sebelum ini mengesyorkan pertemuan tidak rasmi itu membabitkan semua pihak bagi membincangkan perjanjian Vienna yang mana cadangan itu turut diterima oleh pentadbiran Presiden AS, Joe Biden.

Selepas kemenangan Biden, Washington dan pihak Eropah (Perancis, Jerman dan Britain) serta Teheran berusaha menyelamatkan perjanjian itu.

Melalui perjanjian itu, ia memberi pelepasan sekatan antarabangsa terhadap Iran sebagai timbal balik kepada sekatan program nuklearnya.

Perjanjian itu bagaimanapun hampir musnah sejak bekas Presiden, Donald Trump secara satu pihak menarik diri pada 2018 dan mengaktifkan kembali sekatan yang melumpuhkan sebagai sebahagian daripada kempen 'tekanan maksimum' terhadap Teheran.

Jurucakap Kementerian Luar Teheran, Saeed Khatibzadeh, dalam kenyataannya mengesahkan penolakan pertemuan itu berdasarkan situasi semasa.

"Dengan menimbangkan keadaan semasa dan tindakan AS serta tiga negara Eropah, (Iran) tidak menganggap ia waktu yang sesuai untuk mengadakan pertemuan tidak rasmi yang diusulkan oleh penyelaras Eropah.

"Masih belum ada perubahan dalam kedudukan dan tindakan AS sehingga kini," katanya yang turut menyifatkan pentadbiran Biden meneruskan 'kegagalan Trump dalam dasar tekanan maksimum'.

Biden memberi isyarat bersedia untuk menghidupkan kembali perjanjian itu tetapi meminta Iran terlebih dahulu kembali kepada semua komitmen nuklear yang sebahagian besarnya ditangguhkan sebagai tindak balas sekatan terbabit.

Manakala Teheran pula menuntut Washington mengambil langkah pertama dengan membatalkan sekatan itu.

Kementerian Luar itu tampil dengan kenyataan menjelang pertemuan suku tahunan lembaga gabenor Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mana ia kemungkinan akan membincangkan mengenai sekatan pemeriksaan nuklear Iran, baru-baru ini.

"Ingat: Kegagalan pertemuan Trump kerana 'Max Failure' yang tidak disarankan," tulis Khatibzadeh di Twitter selepas mengeluarkan kenyataan itu.

"Kedudukan Teheran tidak berubah dengan adanya sekatan... kecaman bukan diplomasi. Ia tidak akan berhasil dengan Iran," katanya. - AFP

Berita Harian X