Sabtu, 27 Februari 2021 | 1:24pm
Korea Selatan mula melancarkan kempen vaksinasi besar-besaran. - Foto AFP
Korea Selatan mula melancarkan kempen vaksinasi besar-besaran. - Foto AFP

Korea Selatan lancar kempen vaksinasi COVID-19 besar-besaran

SEOUL: Korea Selatan semalam memberikan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 kepada penduduknya di kemudahan jagaan jangka panjang, sekali gus melancarkan kempen vaksinasi besar-besaran yang pihak berkuasa berharap akan mengembalikan sebahagian tahap normal sebelum hujung tahun ini.

Lebih 5,260 penghuni dan kakitangan di 213 rumah jagaan, institusi mental dan pusat pemulihan menerima suntikan dos pertama vaksin semalam, yang dihasilkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford.

Sejumlah pesakit dan pekerja yang tidak didedahkan bilangannya di 292 hospital jagaan jangka panjang juga akan mendapat vaksin terbabit, menurut pegawai dari Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.

Secara berasingan, doktor, jururawat dan pakar kesihatan lain yang merawat pesakit COVID-19 akan mula menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech mulai hari ini.

Vaksin Pfizer-BioNTech, yang diperoleh Korea Selatan menerusi program COVAX yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada petang semalam, sebelum dipindahkan ke lima hospital utama yang merawat jangkitan COVID-19. - AGENSI

Berita Harian X