Khamis, 25 Februari 2021 | 7:05am
 Foto yang dirakamkan pada 8 Januari 2020 menunjukkan anggota penyelamat melakukan pencarian di lokasi pesawat Ukraine yang ditembak jatuh. - Foto AP
Foto yang dirakamkan pada 8 Januari 2020 menunjukkan anggota penyelamat melakukan pencarian di lokasi pesawat Ukraine yang ditembak jatuh. - Foto AP

Iran sedia maklum balas terhadap keraguan nahas pesawat Ukraine

TEHERAN: Iran akan memberi 'maklum balas terperinci' terhadap dakwaan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung tindakan Teheran menembak jatuh pesawat penumpang Ukraine secara tidak sengaja tahun lalu.

Dalam satu kenyataan semalam, jurucakap Kementerian Luar Iran, Saeed Khatibzadeh, berkata Iran sudah menyediakan maklum balas terperinci berhubung persoalan dan keraguan yang dibangkitkan dan akan dimaklumkan sebelum 20 Mac ini.

Beliau mendakwa pakar PBB itu bergantung pada maklumat yang berat sebelah dan tidak berasas ketika membuat tuduhan itu, selain mengkritiknya kerana terbabit dalam topik yang 'tidak berkaitan dengan tugas atau bidangnya'.

Pada 8 Januari tahun lalu, pesawat PS752 milik Ukraine International Airlines terhempas selepas berlepas dari Teheran dan mengorbankan 176 penumpang dan anak kapal, termasuk 54 warga Kanada.

Tiga hari kemudian, negara republik Islam itu mengaku tenteranya melakukan kesilapan apabila melepaskan dua peluru berpandu ke arah pesawat Boeing 737-800 yang menuju ke Kiev.

Selasa lalu, seorang pelapor khas PBB mengenai pembunuhan di luar undang-undang, Agnes Callamard, mendakwa penjelasan Iran mengenai apa yang berlaku penuh dengan fakta yang bertentangan dan bersamaan dengan pembohongan.

Callamard memberitahu wartawan bahawa penjelasan Iran 'bertentangan fakta yang dikeluarkan berdasarkan penilaian teknikal oleh beberapa pakar'.

"Kenapa Iran berbohong? Tiada istilah lain yang sesuai digunakan," dakwanya.

Pihak berkuasa penerbangan awam Iran memaklumkan, isu penyelenggaraan radar unit antipesawat adalah punca utama kesilapan manusia di sebalik tragedi itu.

Disember lalu, Iran memaklumkan akan membayar pampasan berjumlah AS$150,000 (RM606,348) kepada setiap keluarga mangsa nahas terbabit dan dikecam Ukraine yang menggesa siasatan berakhir terlebih dahulu. - AFP

Berita Harian X