Selasa, 23 Februari 2021 | 6:28pm
Ahli Parlimen Parti Liberal, Craig Kelly, berulang kali menggunakan media sosial dan parlimen untuk mempertikaikan keselamatan vaksin COVID-19. - Foto AGENSI
Ahli Parlimen Parti Liberal, Craig Kelly, berulang kali menggunakan media sosial dan parlimen untuk mempertikaikan keselamatan vaksin COVID-19. - Foto AGENSI

Ahli Parlimen Australia promosi konspirasi pandemik keluar parti

SYDNEY: Seorang ahli parlimen Australia yang sering menyebarkan maklumat salah mengenai wabak COVID-19 bertindak keluar daripada parti pemerintah konservatif hari ini selepas beberapa minggu ditegur oleh Perdana Menteri, Scott Morrison, secara terbuka.

Craig Kelly, ahli Parti Liberal, berulang kali menggunakan media sosial dan parlimen untuk mempertikaikan keselamatan vaksin COVID-19, menentang langkah penutupan, dan mempromosikan rawatan yang tidak terbukti seperti ubat malaria hydroxychloroquine dan ubat kutuivermectin.

"Saya merasakan bahawa sepanjang penggal parlimen ini, jika saya akan bertindak dan bercakap mengikut hati nurani dan kepercayaan saya, saya dapat melakukannya dengan lebih berkesan lagi sebagai seorang ahli parlimen bebas," katanya kepada stesen penyiar ABC.

Tindakan Kelly menafikan majoriti bagi gabungan Morrison di dewan rakyat, tetapi ahli parlimen itu menyatakan bahawa beliau akan terus menyokong pemerintah dalam isu penting.

Ahli Parlimen Sydney itu memberitahu rakannya mengenai keputusannya dalam pertemuan Parti Liberal di Canberra.

Morrison mengesahkan keputusan itu, dengan menyatakan bahawa beliau tidak lagi merasa dapat memenuhi desakan pemimpin partinya supaya berhenti menyebarkan maklumat yang salah.

Menurut data CrowdTangle, akaun Facebook Kelly memperoleh sekitar enam juta tontonan video dan lima juta interaksi pada tahun 2020.

Dalam satu kenyataan parlimen Selasa lalu, Kelly tidak kesal untuk mempromosikan rawatan COVID-19 yang tidak berfungsi, dengan menyatakan bahawa beliau berkewajipan untuk memastikan warga Australia tidak dinafikan akses kepada rawatan perubatan, jika doktor mereka percaya bahawa rawatan terbabit dapat menyelamatkan nyawa.

Tinjauan pendapat umum menunjukkan tiga daripada empat warga Australia berhasrat untuk mendapatkan vaksin, tetapi maklumat salah tersebar luas di platform media.

Berita Harian X