Ahad, 14 Februari 2021 | 4:29pm
Penduduk bandar Soma di Fukushima, Jepun sedang membersihkan kediaman masing-masing selepas dilanda gempa bumi. - Foto EPA
Penduduk bandar Soma di Fukushima, Jepun sedang membersihkan kediaman masing-masing selepas dilanda gempa bumi. - Foto EPA

Lebih 30 cedera akibat gempa bumi di Jepun

IWAKI: Puluhan mangsa dilaporkan cedera dan bekalan elektrik terputus akibat gempa bumi kuat yang melanda pantai timur Jepun semalam.

Namun, bencana alam itu dipercayai tidak menyebabkan kemusnahan besar dan tiada amaran tsunami dikeluarkan sehingga kini oleh agensi meteorologi.

Sementara itu, agensi berita Kyodo melaporkan, lebih 30 mangsa dipercayai cedera akibat gempa bumi terbabit.

Rakaman televisyen yang disiarkan turut menunjukkan keadaan beberapa buah kedai yang mengalami kerosakan termasuk serpihan kaca yang bertaburan.

Wakil kerajaan, Katsunobu Kato, pada taklimat yang disiarkan NHK, menjelaskan kira-kira 950,000 isi rumah terputus bekalan elektrik khususnya di kawasan Timur Laut Jepun termasuk Fukushima dan wilayah berhampiran.

Sementara itu, menurut pemilik Tokyo Electric Power Company Holdings, tiada tanda luar biasa ditunjukkan di loji kuasa nuklear di Fukushima Daiichi dan Daini atau di loji nuklear Kahiwazaki-Kariwa.

Pihak utiliti turut mengesahkan tiada perubatan tahap radiasi berlaku di sekitar loji.

Kato pula menjelaskan kemudahan nuklear di Onagawa juga tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, pusat gempa bumi yang berukuran magnitud 7.3 pada skala Richter itu berada di luar pantai wilayah Fukushima pada kedalaman 60 kilometer (km).

Kejadian kira-kira 11 malam waktu tempatan (1400 GMT) itu turut menggegarkan beberapa bangunan di kawasan berhampiran.

Selain itu, kediaman dan bangunan pejabat di pusat bandar Tokyo turut merasai gegaran walaupun jaraknya beratus kilometer.

Gempa bumi kali ini melanda Fukushima beberapa minggu sebelum ulang tahun ke-10 gempa bumi pada 11 Mac 2011, yang memusnahkan timur laut Jepun, sekali gus mencetuskan tsunami dan menyebabkan krisis nuklear. - AGENSI

Berita Harian X