Ahad, 14 Februari 2021 | 2:20pm
Keadaan berselerak di rumah seorang penduduk akibat gegaran gempa bumi kuat yang melanda Jepun, semalam. - FOTO EPA
Keadaan berselerak di rumah seorang penduduk akibat gegaran gempa bumi kuat yang melanda Jepun, semalam. - FOTO EPA

Puluhan cedera gempa bumi kuat di Jepun

TOKYO: Berpuluh-puluh orang cedera dalam gempa bumi berukuran 7.3 magnitud yang melanda luar Fukushima pada malam tadi, menurut pihak berkuasa, hari ini.

Kejadian berlaku selepas wilayah timur itu pernah digegarkan gempa bumi kuat yang mengakibatkan tsunami dan loji nuklear terjejas, hampir 10 tahun lalu.

Perdana Menteri, Yoshihide Suga, memaklumkan hingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden kali ini yang tidak mencetuskan amaran tsunami.

"Kami menerima laporan bahawa ramai mangsa cedera di wilayah Fukushima dan Miyagi.

"Namun setakat ini, kami tiada menerima sebarang laporan kematian," katanya pada satu mesyuarat kecemasan Kabinet, pagi tadi.

Menurut agensi pengurusan bencana, setakat ini, 74 kes kecederaan dilaporkan di wilayah berkenaan serta sekitar Tokyo di mana gegaran kuat dirasai sejurus jam 11 malam tadi.

Bagaimanapun, kiraan oleh media tempatan mendapati sekurang-kurang 104 kes kecederaan telah dilaporkan, termasuk patah tulang sehinggalah luka akibat cermin yang pecah.

Namun kali ini, tiada laporan menyatakan loji nuklear di Fukushima terjejas berbanding ketika gempa bumi kuat pada Mac 2011 yang mencetuskan tsunami besar serta mengorbankan lebih 18,000 nyawa.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, gempa bumi dengan kedalaman 60 kilometer di Lautan Pasifik, luar Fukushima itu disifatkan sebagai gempa susulan kepada gegaran kuat hampir sedekad lalu berkenaan.

Jurucakap kerajaan, Katsunobu Kato memaklumkan hingga kini, tiada kerosakan besar dilaporkan tetapi pihak berkuasa sedang menilai kesan tanah runtuh di lebuh raya.

Beliau sekali gus memberi amaran kemungkinan akan berlaku gempa susulan yang kuat, minggu depan, serta lebih banyak lagi kejadian tanah runtuh berikutan cuaca diramalkan hujan lebat.

"Berkemungkinan akan berlaku gempa bumi sangat kuat, terutama dalam masa dua hingga tiga hari akan datang," katanya.

Setakat awal pagi tadi, Kato berkata, lebih 250 mangsa berada di 173 pusat perlindungan kecemasan di Fukushima dan wilayah sekitar.

Bagaimanapun, beliau berkata, ramai mangsa yang pulang ke rumah masing-masing selepas itu.

Katanya, pihak Pfizer pula memaklumkan kepada kerajaan Jepun bahawa kemudahan menyimpan vaksin COVID-19 yang dihasilkan syarikat itu tidak terjejas akibat gempa bumi berkenaan.

Dalam pada itu, Kato berkata, kira-kira 4,800 isi rumah mengalami gangguan bekalan air, namun pihak berkuasa sedang menghantar bantuan berkenaan ke kawasan yang terjejas.

Menurut pihak berkuasa utiliti di wilayah terbabit, kira-kira 950,000 kediaman terputus bekalan elektrik tetapi bekalan itu sudah pulih semula di kebanyakan kawasan menjelang pagi tadi. - AFP

Berita Harian X