Sabtu, 13 Februari 2021 | 11:29pm
Pusat gempa bumi dikesan di Jepun malam ini. Foto dari web Earthquakemonitor
Pusat gempa bumi dikesan di Jepun malam ini. Foto dari web Earthquakemonitor

Gempa bumi 7.1 magnitud gegar Jepun

TOKYO: Satu gempa bumi kuat dengan magnitud 7.0 menggegar pantai timur Jepun malam ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan, mengikut pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Jepun.

Gempa bumi itu menghasilkan gegaran kuat sepanjang pantai timur Jepun dan turut dirasai di Tokyo, tetapi tiada mangsa cedera dilaporkan setakat ini.

Agensi meteorologi Jepun berkata, gempa bumi itu berlaku pada jam 11.08 malam waktu tempatan di kedalaman 60 kilometer (km) Laut Pasifik, tidak jauh dari Fukushima yang pernah menjadi pusat gempa pada tahun 2011 dan mengorbankan lebih 18,000 orang serta menyebabkan tsunami.

Media tempatan melaporkan bekalan elektrik terputus sehingga menjejaskan ribuan kediaman di wilayah Tohoku dekat timur Jepun.

Operator tapak nuklear Fukushima, TEPCO dalam Twitter melaporkan pihaknya sedang memeriksa status kemudahan itu yang musnah dalam susulan tsunami tahun 2011.

Perkhidmatan kereta api di Jepun dilaporkan turut menghentikan operasi selepas gempa bumi berlaku.

Perdana Menteri Yoshihide Suga turut bergegas ke pejabatnya dan penyiar NHK berkata kerajaan akan mewujudkan pejabat perhubungan khas untuk membantu wilayah yang terjejas.

Pusat Kajian Geologi AS melaporkan gempa bumi itu bermagnitud 7.0 di kedalaman 54 km.

Jepun antara negara yang terletak di Lingkaran Berapi Pasifik, kawasan kerap dilanda gempa bumi yang merangkumi sebahagian Asia Tenggara serta merentas pelantar pasifik. - AFP

Berita Harian X