Sabtu, 13 Februari 2021 | 3:08pm
Gambar menunjukkan lokasi kilang mercun di mana letupan berlaku di daerah Virudhunagar di Tamil Nadu, India, - Foto EPA
Gambar menunjukkan lokasi kilang mercun di mana letupan berlaku di daerah Virudhunagar di Tamil Nadu, India, - Foto EPA

19 maut dalam letupan kilang mercun di India

VIRUDHUNAGAR: Pihak berkuasa hari ini mengesahkan sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh termasuk 11 wanita, dalam letupan di sebuah kilang mercun di India.

Letupan yang berlaku tengah hari semalam di daerah Virudhunagar itu adalah antara tragedi terburuk sejak beberapa tahun kebelakangan ini di Tamil Nadu.

Pegawai tempatan, R Kannan, memberitahu AFP bahawa jumlah kematian mungkin meningkat dalam tempoh beberapa jam seterusnya berikutan kerja mencari dan menyelamat (SAR) yang giat dilakukan.

"Setakat ini, 34 orang cedera dan sedang menjalani rawatan termasuk beberapa yang melecur teruk.

"Kami menemui hampir 50 mangsa dalam tempoh empat jam pertama SAR termasuk sembilan sudah rentung dan sembilan lagi maut ketika menerima rawatan.

"Terdapat kira-kira 74 orang sedang bekerja di kilang berkenaan semasa letupan itu berlaku dan polis masih menyiasat punca letupan," katanya.

Menurut laporan media tempatan, kilang berkenaan, Sree Mariyammal Fireworks, beroperasi secara haram dan portal berita The Newsminute pula melaporkan bahawa pemilik kilang sudah menghilangkan diri.

Menurut pihak polis pula, mereka kini mencari tiga suspek termasuk pemilik lesen, Santhanamari, kerana beroperasi di premis haram menempatkan 60 bilik itu, yang turut di sewa kepada orang lain.

Letupan turut mengakibatkan 15 bilik musnah sama sekali manakala 13 lagi mengalami kerosakan.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengucapkan takziah mengumumkan pampasan 200,000 rupee (RM11,138) kepada setiap keluarga mangsa yang maut serta 50,000 rupee (RM2,784) kepada yang cedera.

Selain itu, Ketua Menteri Tamil Nadu, Edappadi K Palaniswami turut berbuat demikian dan mengumumkan pampasan 300,000 rupee (RM16,700) kepada setiap keluarga mangsa yang maut serta 100,000 rupee (RM5,569) kepada yang cedera. - AGENSI

Berita Harian X