Khamis, 11 Februari 2021 | 9:42am
 Foto AFP
Foto AFP

AS sokong kebimbangan Jepun terhadap pencerobohan kapal China

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menyuarakan keprihatinan terhadap pencerobohan China di perairan wilayah Jepun, sekali gus memperakukan pertahanan sekutunya itu.

Menerusi panggilan telefon, Blinken dan Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi "menyatakan keprihatinan terhadap peningkatan ketegasan China di sekitar Kepulauan Senkaku susulan penggubalan undang-undang baharu pengawal pantai China," kata jurucakap Jabatan Negara, Ned Price.

"Setiausaha Blinken menegaskan sekali lagi bahawa Senkaku termasuk dalam ruang lingkup Artikel V Perjanjian Keselamatan AS-Jepun," katanya, merujuk pada bahagian yang memperakukan kedua-dua negara untuk saling mempertahankan jika diserang.

Tokyo menyuarakan kebimbangan mengenai peningkatan pencerobohan China selepas Beijing menggubal undang-undang yang memungkinkan pengawal pesisirnya menggunakan senjata terhadap kapal asing yang dilihat memasuki perairannya secara haram.

Jepun mentadbir pulau-pulau kecil berbatu di Laut China Timur yang turut dituntut oleh Beijing, yang dipanggil sebagai Diaoyu, selain Taiwan.

Bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton pertama kali mengatakan Senkaku berada di bawah Artikel V, walaupun Trump bertindak lebih jauh dengan memberi amaran terhadap percubaan menentang penguasaan Jepun ke atas pulau-pulau berkenaan.

Jabatan Negara mengatakan Blinken dan Motegi juga membincangkan rampasan kuasa tentera di Myanmar. - AFP

Berita Harian X