Khamis, 11 Februari 2021 | 8:25am
 Foto yang dirakamkan pada 3 Februari 2007 menunjukkan seorang juruteknik bekerja di Uranium Conversion Facility, di luar bandar Isfahan, Iran. - Foto fail AP
Foto yang dirakamkan pada 3 Februari 2007 menunjukkan seorang juruteknik bekerja di Uranium Conversion Facility, di luar bandar Isfahan, Iran. - Foto fail AP

Iran hasilkan logam uranium, langgar perjanjian 2015 - IAEA

VIENNA: Iran mula menghasilkan logam uranium, kata pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, siri pelanggaran baharu dalam perjanjian Tehran 2015 dengan kuasa dunia.

Perkembangan terkini yang menyaksikan pelanggaran perjanjian bertujuan mencegah Tehran membangunkan senjata nuklearnya, berlaku ketika Iran memberi amaran masa hampir tamat untuk pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) baharu, Joe Biden menyelamatkan perjanjian itu.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berpangkalan di Vienna dalam kenyataan pada 8 Februari lalu, mengesahkan 3.6 gram logam uranium di Loji Fabrikasi Plat Bahan Bakar Iran di Esfahan.

Ketua Pengarah IAEA, Rafael Grossi memberitahu negara anggota mengenai pelanggaran baharu itu, tambah kenyataan itu.

Berita itu sudah dijangka selepas Iran memaklumkan bulan lalu, sedang meneliti pengeluaran logam uranium yang bertujuan untuk menyediakan bahan bakar canggih bagi penyelidikan reaktor di Tehran.

Bagaimanapun isu itu sensitif ekoran logam uranium dapat digunakan sebagai komponen dalam senjata nuklear.

Perjanjian penting dicapai pada 2015 oleh AS, China, Russia, Jerman, Perancis dan Britain, mengandungi larangan 15 tahun untuk menghasilkan atau memperoleh logam plutonium atau uranium atau aloi.

Kesepakatan itu mengatakan selepas 10 tahun, Iran akan dibenar memulakan penelitian untuk menghasilkan bahan bakar berasaskan logam uranium dalam jumlah kecil yang dipersetujui, namun hanya selepas pihak berkuasa memberi persetujuan.

Pelanggaran baharu itu berlaku sebulan selepas Iran mengumumkan sudah meningkatkan proses memperkaya uraniumnya menjadi 20 peratus tulen, jauh di atas tahap 3.67 peratus yang dibenarkan oleh perjanjian itu namun masih jauh daripada jumlah diperlukan untuk bom atom.

Pada 2018, bekas Presiden AS, Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran dan mengenakan semula sekatan ekonomi yang menyukarkan Tehran.

Tahun berikutnya, Tehran mengumumkan akan mula melanggar had perjanjian aktiviti nuklear.

Biden pula berusaha menghidupkan semula perjanjian itu, namun kedua-dua pihak dilihat menemui jalan buntu berhubung pihak mana yang perlu bertindak dahulu.

"Sekiranya mereka mahu Iran kembali pada komitmennya, AS mesti sepenuhnya menghapus sekatan itu, menerusi tindakan dan bukan di atas kertas," kata pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, pada Ahad.

Biden yang ditanya sebelum ini sama ada akan menghentikan sekatan bagi meyakinkan Iran untuk kembali ke meja rundingan, Biden memberi jawapan jelas, "Tidak". - AFP

Berita Harian X