Selasa, 9 Februari 2021 | 7:36pm
Pakar asing WHO, Peter Ben Embarak, pada sidang media selepas lawatan kumpulan pakar antarabangsa WHO ke Wuhan di Hubei, China. - AFP
Pakar asing WHO, Peter Ben Embarak, pada sidang media selepas lawatan kumpulan pakar antarabangsa WHO ke Wuhan di Hubei, China. - AFP

Misi WHO di China gagal kesan punca COVID-19

WUHAN: Misi siasatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke China untuk mengesan asal-usul COVID-19 gagal mengenal pasti jenis haiwan yang menjadi punca jangkitan coronavirus itu.

Pakar percaya virus yang setakat ini menjangkiti 107,007,830 mangsa dan mengorbankan 2,336,339 nyawa di 219 negara di seluruh dunia, berasal daripada kelawar dan mungkin dipindahkan kepada manusia menerusi mamalia lain.

Menurut ketua pasukan penyiasat China, Liang Wannian, walaupun jangkitan dipercayai berpunca daripada binatang, hos asal belum dapat dikenal pasti.

"Kajian menunjukkan virus ini boleh dibawa ke lokasi yang jauh jika berada pada produk sejuk beku, menunjukkan kemungkinan virus ini mungkin diimport, satu teori yang makin kerap dibangkitkan di China sejak kebelakangan ini.

"Pada masa sama, tiada petanda bahawa penyakit akibat COVID-19 sudah menular di Wuhan sebelum Disember 2019, apabila kes rasmi pertama dilaporkan," katanya.

Pakar asing WHO, Peter Ben Embarak, yang pernah bertugas di WHO Beijing selama dua tahun bermula 2009, menyokong dapat itu dengan menyatakan tiada 'penularan besar wabak' di Wuhan sebelum akhir 2019.

Misi siasatan WHO itu mencetuskan banyak isu diplomatik sebelum ia bermula lagi, dengan Amerika Syarikat (AS) menuntut siasatan terperinci dan menuduh China cuba menyembunyikan bukti awal pandemik.

Sementara itu, China menuduh AS cuba mempolitikkan siasatan WHO dan banyak berahsia serta mengenakan pelbagai halangan terhadap usaha antarabangsa bagi melakukan siasatan.

Sepanjang misi siasatan yang diawasi rapi itu, media dilarang menemui anggota pasukan siasatan dan hasil dapatan mereka hanya dikongsi melalui Twitter atau temu bual tertentu.

Malah, kumpulan itu hanya menghabiskan masa sejam di pasar makanan laut Wuhan, di mana kluster pertama jangkitan besar-besaran dilaporkan lebih setahun lalu.

Mereka juga dilihat menghabiskan beberapa hari di dalam hotel, dengan hanya menerima lawatan pelbagai pegawai kanan China, tanpa meninggalkan bandar penginapan mereka.

Bagaimanapun, penyelidikan lebih mendalam dilakukan di Institut Virologi Wuhan (WIV) di mana mereka menghabiskan hampir empat jam.

Di sana, mereka turut menemui saintis China termasuk Shi Zhengli, salah seorang pakar coronavirus menjangkiti kelawar merangkap timbalan pengarah WIV.

Sebelum ini, bekas Presiden AS, Donald Trump, beberapa kali mengulangi teori kontroversi beliau mengatakan virus itu mungkin bocor dari institut virologi itu.

Saintis di WIV melakukan penyelidikan terhadap beberapa penyakit paling berbahaya di dunia termasuk varian coronavirus kelawar yang mirip kepada COVID-19.

Beijing terdesak untuk mematahkan kritikan mengenai caranya mengendalikan kekecohan peringkat awal dalam menangani wabak itu.

Kini, ia menumpukan perhatian di negara sendiri dan luar negara berhubung cara menangani dan pemulihan daripada pandemik itu. - AFP

Berita Harian X