Isnin, 8 Februari 2021 | 6:18pm
China didakwa terbabit dalam dua insiden pencerobohan kawasan perairan Jepun. Foto AFP
China didakwa terbabit dalam dua insiden pencerobohan kawasan perairan Jepun. Foto AFP

Jepun bantah pencerobohan kapal China di pulau sengketa

TOKYO: Jepun membantah tindakan China yang didakwa terbabit dalam dua insiden pencerobohan kawasan perairan Negara Matahari Terbit itu.

Ia tercetus selepas Beijing melaksanakan perundangan bagi mengetatkan tindak balas terhadap sebarang pelanggaran kawasan perairan China.

Pertikaian antara Jepun dan China ketika terarah kepada sebuah pulau kecil di timur Laut China Selatan, yang dipanggil Senkakus oleh Tokyo, manakala Diaoyu bagi Beijing.

Pulau kecil dengan permukaan berbatu itu ditadbir oleh Tokyo, namun kapal China didakwa sering melanggar peraturan berkaitan sempadan kawasan perairan negara masing-masing.

Ketegangan di Laut China Selatan terus meruncing apabila Beijing menguatkuasakan perundangan yang membenarkan pengawal pantai negara terbabit untuk menggunakan senjata, terhadap mana-mana kapal asing sekiranya didapati menceroboh perairan negara mereka.

Jurucakap Kerajaan Jepun, Katsubonu Kato, berkata Tokyo membantah pencerobohan dua kapal pengawal pantai China selepas mereka memasuki perairan pulau Senkaku, masing-masing pada kelmarin dan semalam.

"Kami mengemukakan bantahan keras menerusi saluran diplomatik di Tokyo dan Beijing, dengan menggesa supaya segera hentikan pergerakan mereka yang cuba menghampiri kapal nelayan Jepun, selain berundur dari kawasan perairan kami.

"Berulang kali kapal pengawal pantai Jepun terpaksa meminta untuk mereka beredar dari sempadan kawasan perairan dan ia sebahagian daripada langkah untuk menjamin aspek keselamatan bot nelayan Jepun.

"Jepun tidak akan bertolak ansur dalam tindakan sedemikian," katanya.

Kapal pengawal pantai China sering berlegar di zon pulau sengketa berkenaan, khususnya menerusi kepemimpinan Presiden Xi Jinping yang berhasrat menjadikan Beijing sebagai negara yang mempunyai kekuasaan terhadap kawasan perairan.

Tahun lalu, kapal China disahkan berada di sekitar kawasan pulau berkenaan, untuk tempoh selama 333 hari.

Selain terbabit dalam pertikaian kawasan dengan Jepun, Beijing mendakwa bahawa hampir keseluruhan Laut China Selatan ialah milik negara berkenaan, meskipun sebahagian daripadanya turut dituntut oleh Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Bejing sehingga kini mengetepikan keputusan tribunal antarabangsa pada 2016 yang disifatkan sebagai tidak mempunyai asas. - AFP

Berita Harian X