Ahad, 7 Februari 2021 | 10:32pm
Undang-undang hasutan Hong Kong terpisah daripada undang-undang keselamatan baru yang disyorkan Beijing, sebelum ini. - Foto AFP
Undang-undang hasutan Hong Kong terpisah daripada undang-undang keselamatan baru yang disyorkan Beijing, sebelum ini. - Foto AFP

Polis tahan DJ radio

HONG KONG: Seorang penyampai radio internet Hong Kong, ditahan hari ini mengikut undang-undang hasutan era kolonial yang jarang dikuat kuasa oleh pihak berkuasa, terhadap pengkritik Beijing.

Pegawai dari Jabatan Keselamatan Polis Nasional menahan Wan Yiu-sing, 52 atas tuduhan 'mempunyai niat hasutan', menurut satu kenyataan dikeluarkan polis.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak mendedahkan tindakan atau ucapan Yiu-Sing yang dianggap menghasut.

Yiu-Sing yang lebih dikenali dengan panggilan 'Giggs', mengacarakan program membincangkan demonstrasi antipemerintah dan sebelumnya meminta sumbangan untuk menyokong anak muda Hong Kong yang melarikan diri ke Taiwan.

Undang-undang hasutan Hong Kong terpisah daripada undang-undang keselamatan baru yang disyorkan Beijing sebelum ini, dalam usaha untuk membantah perbezaan pendapat.

Sebaliknya undang-undang itu sudah bermula pada pertengahan abad ke-19, ketika pemerintahan kolonial British.

Undang-undang masih ada selepas penyerahan Hong Kong pada 1997 kepada China, namun tidak pernah diguna pakai di wilayah yang mendokong kebebasan berpolitik itu, situasi yang tidak dapat dilihat di China.

Namun, selepas tunjuk perasaan ganas besar-besaran dan sering berlaku pada 2019, pihak pendakwa raya mengetepikan undang-undang itu.

Pada September tahun lalu, seorang penyampai radio prodemokrasi, Tam Tak-chi, yang kini masih dalam tahanan untuk menunggu perbicaraan menjadi individu pertama didakwa mengikut undang-undang hasutan sejak 1977.

Pendakwa raya mendakwa slogan protes popular yang diucapnya, seperti 'Bebaskan Hong Kong, revolusi zaman kita' dan 'Bubarkan polis', satu bentuk hasutan. - AFP

Berita Harian X