Rabu, 20 Januari 2021 | 1:48pm
Jepun sasar rakyat terima suntikan vaksin pada Mei ini. FOTO AFP
Jepun sasar rakyat terima suntikan vaksin pada Mei ini. FOTO AFP

Program imunisasi Jepun dijadual Mei ini

TOKYO: Jepun mensasarkan program suntikan vaksin COVID-19 kepada masyarakat akan mula dilaksanakan pada Mei ini selepas suntikan kepada golongan sasar selesai.

Langkah imunisasi itu dilihat bakal dilakukan dua bulan sebelum Sukan Olimpik Musim Sejuk berlangsung.

Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan kerajaan Jepun berharap majoriti golongan dewasa akan diberikan suntikan vaksin, menjelang Julai ini, sebulan sebelum pembukaan sukan bertaraf antarabangsa itu.

Jepun sebelum ini memeterai perjanjian dengan syarikat farmaseutikal bagi perolehan dos vaksin yang mencukupi untuk 126 juta penduduknya.

Malah, 'negara matahari terbit' itu ketika ini merintis usaha untuk memberi kelulusan penggunaan kecemasan terhadap vaksin Pfizer dalam program imunisasi, bulan depan.

Pegawai kerajaan memaklumkan, sekitar 10,000 petugas perubatan akan menjadi penerima pertama vaksin, disusuli 50 juta orang yang tergolong dalam kelompok berisiko, termasuk individu berusia 65 tahun ke atas dan mempunyai masalah kesihatan lain.

Acara pembukaan sukan Olimpik Tokyo 2020 sepatutnya dijadual berlangsung dalam tempoh enam bulan akan datang, namun ia dibimbangi bakal terjejas susulan peningkatan kadar jangkitan COVID-19 di Jepun.

Situasi semasa itu turut menyaksikan sokongan orang ramai terhadap penganjuran olimpik semakin merudum, dengan tinjauan secara dalam talian menunjukkan 80 peratus responden berpendapat acara bertaraf antarabangsa itu harus dibatalkan atau ditunda sekali lagi.

Jurucakap kerajaan, Katsunobu Kato, berkata masih awal untuk membuat sebarang pengumuman berhubung jadual imunisasi.

"Vaksinasi hanya akan bermula selepas ia memperoleh kelulusan," katanya.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran kegusaran orang ramai terhadap vaksin di Jepun bakal merencatkan program pelalian dalam kalangan penduduk.

Tinjauan antarabangsa yang diterbitkan pada Disember tahun lalu menunjukkan hanya 60 peratus daripada responden di Jepun bersetuju untuk menerima vaksin.

Perangkaan itu menyaksikan Jepun ketinggalan dengan China apabila 80 peratus responden dari republik itu menyatakan persetujuan untuk menerima vaksin, Korea Selatan (75 peratus) dan Amerika Syarikat (69 peratus).

Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga, sebelum ini menawarkan diri untuk menjadi penerima pertama vaksin, seiring usaha mengukuhkan keyakinan dalam kalangan masyarakat yang masih gusar terhadap penawar COVID-19 itu. - AFP

Berita Harian X