Sabtu, 16 Januari 2021 | 4:33pm
Gambar fail menunjukkan penyelidik melakukan pemeriksaan berikutan penularan wabak selesema burung. - Foto EPA
Gambar fail menunjukkan penyelidik melakukan pemeriksaan berikutan penularan wabak selesema burung. - Foto EPA

Varian baharu virus selesema burung H5N8 dikesan di Hong Kong

HONG KONG: Pihak berkuasa meningkatkan kesiapsiagaan terhadap wabak selesema burung selepas virus H5N8, jenis varian baharu patogen itu dikesan di Hong Kong buat pertama kali.

Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan Hong Kong memaklumkan, dua sampel najis burung yang diambil dari rizab alam sekitar Mai Po oleh penyelidik universiti Rabu lalu disahkan positif virus H5N8.

Mai Po adalah kawasan tanah lembap terbesar di Hong Kong dan diiktiraf antarabangsa atas kepentingan globalnya sebagai habitat persinggahan puluhan ribu burung dari serata dunia.

Menurut jabatan terbabit, tiada ladang penternakan di kesan dalam lingkungan tiga kilometer (km) dari kawasan itu, namun mengingatkan penternak, pemilik kedai burung dan pemilik haiwan berdaftar untuk berjaga-jaga terhadap selesema burung.

Sementara itu, Jabatan Makanan dan Kebersihan Persekitaran Hong Kong memaklumkan akan terus mengawasi gerai menjual haiwan ternakan seperti ayam, itik dan angsa.

Profesor Leo Poon Lit-man, yang terbabit dalam pasukan penyelidik itu, berkata ini adalah kali pertama virus H5N8 dikesan di Hong Kong.

"Ia tidak mengejutkan kerana virus ini sudah tersebar luas di kawasan lain dan ia mungkin dibawa masuk ke Hong Kong oleh burung yang berhijrah ke sini," katanya.

Tambah beliau, lebih banyak ujian akan dijalankan bagi mengenal pasti sumber virus itu dan menggerakkan usaha mengekang penularan.

Penularan virus H5N8 dikesan pada peringkat global membabitkan burung liar dan ladang ternakan di China dan beberapa negara lain seperti Korea Selatan, Jepun, Jerman dan Perancis, menyebabkan penakaian jutaan ayam.

Lit-man berkata, walaupun belum ada rekod manusia dijangkiti virus itu, kemungkinan itu masih boleh diketepikan sepenuhnya.

"Risiko manusia dijangkiti adalah rendah, namun mungkin ada pengecualian bagi kes tertentu, khususnya bagi individu memiliki sistem imunisasi yang lemah dan kemungkinan ini tidak boleh diketepikan," katanya.

Beberpa kes membabitkan manusia dijangkiti virus selesema burung seperti H5N1 dan H7N9 sebelum ini menyebabkan sejumlah besar kematian.

Sementara itu, Kementerian Perikanan dan Penternakan Haiwan India, dalam satu kenyataan semalam, mengesahkan penularan selesema burung di 11 negeri.

Negeri terbabit ialah Kerala, Rajasthan, Madhya Pradesh, Himachal Pradesh, Haryana, Gujarat, Uttar Pradesh, Maharashtra, Delhi, Uttarakhand dan Chhattisgarh.

"Setakat 15 Januari, selesema burung membabitkan gagak dan merpati direkodkan di daerah Burhanpur, Rajgarh, Dindori, Chhindwara, Mandla, Harda, Dhar, Sagar dan Satna di Madhya Pradesh.

"Jangkitan sama ditemui pada burung gagak dan layang-layang di daerah Dehradun di Uttarakhand, Rohini di Delhi (gagak) dan pada spesies itik serta burung botak hitam di Zoo Jaipur di Rajasthan.

"Kes dalam kalangan haiwan ternakan turut direkodkan di daerah Harda di Madhya Pradesh dan daerah Balod di Chhattisgarh," menurut kenyataan itu.

Tambah kementerian itu, virus terbabit mudah dihapuskan pada suhu 70 darjah Celsius, bermakna haiwan dan produk ternakan yang dimasak dengan baik adalah selamat dimakan manusia. - AGENSI

Berita Harian X