Isnin, 4 Januari 2021 | 9:13pm
kapal tangki milik Korea Selatan, HANKUK CHEMI, yang ditahan Pasukan Pengawal Revolusi Iran. - Foto EPA
kapal tangki milik Korea Selatan, HANKUK CHEMI, yang ditahan Pasukan Pengawal Revolusi Iran. - Foto EPA

Iran tahan kapal tangki Korea Selatan

DUBAI: Pasukan Pengawal Revolusi Iran semalam menahan sebuah kapal tangki yang didaftarkan di Korea Selatan kerana didakwa mencemari kawasan perairan teluk dengan bahan kimia.

Menurut pihak berkuasa Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), berlaku pertembungan antara pihak berkuasa Iran dan kapal tangki itu di Selat Hormuz dan seterusnya dibawa ke perairan Iran.

Firma keselamatan maritim Britain, Ambrey, mengenal pasti kapal tangki milik Korea Selatan itu sebagai HANKUK CHEMI dan difahamkan dipaksa memasuki kawasan perairan Iran, menuju ke Bandar Abbas.

Ambrey berkata kapal milik DM Shipping Co itu meninggalkan dermaga Petroleum Chemical Quay di Jubail, Arab Saudi sebelum ditahan di Iran.

Firma keselamatan maritim, Dryad Global, di laman sesawangnya, berkata kapal tangki itu berkemungkinan besar ditahan pihak berkuasa Iran di Selat Hormuz ketika menuju ke Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Stesen televisyen Arab Saudi, Al Arabiya, yang memetik sumber, melaporkan bahawa kapal tangki milik Korea Selatan membawa bahan kimia itu ditahan di Iran. - AGENSI

Berita Harian X