Khamis, 31 Disember 2020 | 6:00pm
Korea Selatan akan menentukan peraturan baharu penjarakan fizikal bagi menentang gelombang ketiga COVID-19. - Foto AFP
Korea Selatan akan menentukan peraturan baharu penjarakan fizikal bagi menentang gelombang ketiga COVID-19. - Foto AFP

Korea Selatan rancang peraturan baharu penjarakan fizikal

SEOUL: Korea Selatan akan menentukan peraturan baharu penjarakan fizikal pada Sabtu ini ketika negara itu terus berjuang menentang gelombang ketiga COVID-19 dan paling buruk setakat ini, kata pegawainya hari ini.

Ibu Pejabat Pusat Pengendalian Bencana dan Keselamatan berkata, pihaknya sedang berbincang dengan pakar dan pihak berkuasa daerah bagi membuat perancangan baharu mulai Isnin, berikutan peraturan penjarakan fizikal akan berakhir pada Ahad.

Ketika ini, wilayah Greater Seoul, yang merangkumi wilayah Incheon dan Gyeonggi, mengikuti peraturan tahap 2.5, sementara wilayah lain negara itu dikenakan peraturan tahap dua yang dilaksanakan di seluruh negara.

Peraturan khas dikenakan pada hujung minggu ketika musim sejuk yang juga dilaksanakan pada hujung minggu ini bagi meminimumkan perhimpunan peribadi dan kesesakan trafik antara wilayah.

Sebahagian wilayah yang lebih tinggi bilangan kes akan dikenakan peraturan tahap tiga.

"Setakat ini kami belum menyaksikan kecenderungan jumlah pesakit baharu yang mengalami penurunan untuk mengekang gelombang ketiga," kata pegawai kanan Kementerian Kesihatan, Yoon Tae-ho dalam taklimat media hari ini.

"Bagaimanapun kami menganalisa peraturan penjarakan fizikal yang menunjukkan kesannya walaupun mereka mungkin lambat mematuhinya.

"Trend kenaikan perlahan secara beransur-ansur setiap minggu dan jumlah kes baharu kekal antara purata 900 atau 1,000 untuk tempoh dua minggu," katanya.

Korea Selatan berusaha untuk meningkatkan langkah penjarakan fizikalnya ke tahap tertinggi dengan negara terbabit terus mencatatkan sejumlah besar kes dan kematian COVID-19 baharu sepanjang bulan ini.

Peraturan penjarakan fizikal yang lebih ketat telah dilaksanakan di ibu negara Seoul, selain di wilayah Incheon dan Gyeonggi yang merekodkan hampir 60 peratus dari keseluruhan kes yang dilaporkan di Korea Selatan sejak wabak itu bermula pada Januari.

Bagaimanapun, pihak berkuasa bimbang untuk meningkatkan peraturan penjarakan fizikal seperti disyorkan ramai pakar tempatan berikutan bimbang sekatan pergerakan membataskan ekonomi dan perniagaan kepada lebih dua juta kemudahan.

Korea Selatan mencatatkan 967 kes baharu terkini dengan 940 daripadanya penularan tempatan dan 27 diimport dari luar negara, meningkatkan keseluruhan jangkitan COVID-19 negara itu kepada 60,740 kes.

Menjelang lewat semalam, Korea Selatan juga melaporkan sejumlah 900 kematian akibat COVID-19, meningkat 21 orang, sementara pesakit kritikal mencapai 344 orang, meningkat daripada 332 orang sehari sebelumnya.

Lebih 4.21 juta ujian COVID-19 dilakukan sejak 3 Januari, dan 54,358 sampel diambil semalam, berbanding 61,343 sampel sehari sebelumnya. - AGENSI

Berita Harian X