Khamis, 31 Disember 2020 | 12:17pm
 Kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain antara dua kapal yang melakukan pelayaran di Selat Taiwan. - Foto AFP
Kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain antara dua kapal yang melakukan pelayaran di Selat Taiwan. - Foto AFP

Kapal perang AS belayar di Selat Taiwan kali kedua bulan ini

TAIPEI: Dua kapal perang Amerika Syarikat (AS) belayar di kawasan sensitif Selat Taiwan, Khamis, misi kedua bulan ini dan dalam tempoh dua minggu selepas kumpulan kapal pengangkut pesawat menggunakan laluan sama.

China yang mendakwa Taiwan sebagai milik mereka berang dengan sokongan diberikan AS terhadap negara kepulauan itu, termasuk penjualan senjata api dan kehadiran kapal perang di Selat Taiwan, membuatkan hubungan Beijing - Washington bertambah keruh.

Pasukan Tentera Laut AS berkata, kapal pemusnah peluru berpandu USS John S McCain dan USS Curtis Wilbur melakukan pelayaran rutin di Selat Taiwan pada 31 Disember, berpandukan perundangan antarabangsa.

Kapal berkenaan singgah di Selat Taiwan bagi membuktikan komitmen mereka ke atas Indo Pasifik yang terbuka dan bebas.

"Tentera AS akan terus belayar, terbang dan beroperasi di mana sahaja yang dibenarkan perundangan antarabangsa," kata pasukan itu.

Ia adalah pelayaran ke-13 pasukan berkenaan di Selat Taiwan pada tahun ini.

Menteri Pertahanan Taiwan berkata, kesemua kapal terbabit belayar ke arah utara dalam satu misi biasa.

Pelayaran itu dipantau oleh pasukan keselamatan Taiwan yang mendapati situasi adalah normal, katanya.

Kementerian Pertahanan China tidak memberikan sebarang kenyataan. - AGENSI

Berita Harian X