Khamis, 31 Disember 2020 | 9:58am
 Pelancong merakamkan kenangan di hadapan Taj Mahal. - Foto AFP
Pelancong merakamkan kenangan di hadapan Taj Mahal. - Foto AFP

Had pelawat Taj Mahal ditambah 15,000 sehari

AGRA: Jumlah pelawat Taj Mahal ditambah kepada 15,000 sehari, walaupun pihak berkuasa kesihatan memberi amaran, kesesakan di kawasan tumpuan pelancong boleh meningkatkan risiko COVID-19.

Makam binaan kurun ke-17 itu, antara destinasi pelancongan paling popular India, ditutup pada Mac selepas kerajaan mengenakan perintah berkurung untuk membendung penularan virus.

Bilangan pengunjung kembali meningkat beberapa minggu lalu, apabila ia dibuka semula pada September, memaksa pihak berkuasa menambah jumlah pelancong daripada 10,000 sehari.

"Had itu ditambah kepada 15,000 bagi membolehkan semua pelancong memperoleh tiket dan mengagumi monumen," kata pakar arkeologi kerajaan, Vasant Kumar Swarnkar.

Semalam, sekumpulan pelancong dengan ramai tidak menggunakan pelitup muka memenuhi pekarangan monumen bermarmar putih itu untuk membeli tiket.

Puluhan keluarga turut dilihat menyusuri taman mengelilingi Taj Mahal.

Pihak berkuasa kesihatan persekutuan pada Selasa memberi amaran, lambakan pengunjung di lokasi pelancongan boleh meningkatkan risiko COVID-19, susulan penemuan variasi baharu virus dari Britain yang dikesan di India.

India merekodkan jangkitan COVID-19 kedua tertinggi dunia selepas AS dan hampir 148,500 kematian. Jumlah kes harian bagaimanapun agak rendah selepas mencapai kemuncak 98,000 pada September. - AGENSI

Berita Harian X