Khamis, 31 Disember 2020 | 6:59am
 Serpihan pesawat Penerbangan Antarabangsa Ukraine yang terhempas di lapangan terbang Tehran pada 8 Januari 2020 mengorbankan kesemua 176 penumpang. - Foto AFP
Serpihan pesawat Penerbangan Antarabangsa Ukraine yang terhempas di lapangan terbang Tehran pada 8 Januari 2020 mengorbankan kesemua 176 penumpang. - Foto AFP

Keluarga mangsa nahas penerbangan 752 terima pampasan AS$150,000

TEHRAN: Tehran akan membayar AS$150,000 (RM605,548) kepada setiap keluarga 176 mangsa yang terbunuh, apabila mereka tersalah tembak sebuah pesawat penumpang Ukraine pada Januari lalu, kata pejabat presiden, Rabu.

Penerbangan 752 dari Penerbangan Antarabangsa Ukraine terhempas, sejurus berlepas dari lapangan terbang Tehran pada 8 Januari, membunuh kesemua 176 penumpang.

Republik Islam berkenaan tiga hari kemudian, mengaku bahawa pasukan keselamatan mereka secara tidak sengaja menembak pesawat Boeing 737-800 yang menuju Kiev itu, selepas melancarkan dua peluru berpandu berikutan ketegangan bersama Amerika Syarikat (AS).

"Kabinet meluluskan peruntukan AS$150,000 (RM605,548) atau nilai bersamaan dalam Euro untuk semua keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat Ukraine pada kadar segera.

"Pampasan ini tidak menghentikan sebarang tindakan atau hukuman ke atas pelaku kes, yang akan diadili di hadapan institusi kehakiman," kata pejabat presiden, menurut laporan agensi berita IRNA.

Majoriti yang terbunuh adalah rakyat Iran dan Kanada, dengan 85 daripadanya adalah warga negara Kanada atau penduduk tetap, sebahagian mereka memiliki dua kerakyatan.

Pihak berkuasa penerbangan awam Iran berkata, kesilapan sistem radar unit pertahanan udara adalah punca utama tragedi berkenaan.

Pertahanan udara Tehran berada dalam keadaan berjaga-jaga ketika itu, jika AS memutuskan untuk bertindak balas, susulan serangan Iran beberapa jam sebelumnya, sebagai membalas pembunuhan komander kanan negara terbabit, Jeneral Qasem Soleimani. - AFP

Berita Harian X