X
Khamis, 24 Disember 2020 | 7:30pm
Kapal pemusnah AS, USS John S McCain. - Foto AFP
Kapal pemusnah AS, USS John S McCain. - Foto AFP

Tentera AS nafi diusir tentera China di Laut China Selatan

BEIJING: Tentera laut Amerika Syarikat (AS) menafikan kapal perangnya diusir tentera laut China ketika melakukan rondaan di Laut China Selatan dan menuntut China menghentikan tuntutan tidak sah wilayah maritim di Indo Pasifik.

Selasa lalu, China mendakwa tenteranya 'mengusir' kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut AS yang berlayar berhampiran Kepulauan Nansha, juga dikenali sebagai Kepulauan Spratly, di Laut China Selatan.

Beijing berkata, pasukan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) mengerahkan kapal dan pesawat perang bagi memberi amaran kepada kapal pemusnah AS, USS John S McCain, ketika ia melalui kawasan perairan dipertikaikan di Laut China Selatan.

Bagaimanapun, jurucakap Armada Ketujuh Tentera Laut AS, Leftenan Joe Keiley, dalam satu kenyataan, menafikan dakwaan itu dan mempertahankan hak kapal berkenaan meronda perairan terbabit.

"Kenyataan China berhubung pertembungan terbaru ini cuba memutar belitkan hak operasi maritim AS dan terus membuat tuntutan maritim tidak berasas lagi tidak masuk akal di Laut China Selatan, yang dicabar kebanyakan negara Asia Tenggara.

"PLA ada menghubungi USS John S McCain melalui radio dan memintanya meninggalkan lokasi terbabit dengan diiringi kapal pemusnah PLA, namun tidak diendahkan kapal pemusnah AS itu.

"Sebaliknya, kapal milik AS itu melengkapkan operasi dan meninggalkan kawasan perairan terbabit mengikut 'garis masa misi' yang ditetapkan, bukannya kerana diusir," katanya.

Tambah beliau, USS John S McCain menjalankan misi FONOP (kebebasan operasi pelayaran) berdasarkan undang-undang antarabangsa dan akan terus melakukan operasi seumpamanya di perairan antarabangsa.

Tegas beliau, operasi itu mencerminkan komitmen AS untuk mempertahankan prinsip kebebasan pelayaran dan penggunaan laut secara sah.

"AS akan terus terbang, berlayar dan beroperasi di mana-mana saja kawasan yang dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa, seperti mana dilakukan oleh USS John S McCain.

"Pendirian China bercanggah dengan pegangan AS terhadap pematuhan undang-undang antarabangsa dan wawasan kami untuk melihat wilayah Indo-Pasifik yang bebas lagi terbuka," katanya.

China menuntut wilayah maritim di hampir seluruh Laut China Selatan tetapi dipertikaikan beberapa jiran maritim, termasuk Filipina, Brunei, Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Taiwan. - AGENSI

Berita Harian X