Isnin, 21 Disember 2020 | 1:03pm
Anggota tentera laut melintasi kapal peluru berpandu Tuo Chiang ketika upacara di Suao, daerah Yilan, timur Taiwan pada 15 Disember 2020. - Foto AFP
Anggota tentera laut melintasi kapal peluru berpandu Tuo Chiang ketika upacara di Suao, daerah Yilan, timur Taiwan pada 15 Disember 2020. - Foto AFP

Taiwan kerah tentera laut dan udara ke Selat Taiwan

TAIPEI: Pasukan tentera laut dan udara Taiwan digerakkan ke Selat Taiwan, semalam apabila kapal pengangkut China, Shandong dikesan belayar di kawasan sensitif selat itu, sehari selepas kapal perang Amerika Syarikat melalui kawasan yang sama.

Walaupun ini bukan kali pertama kapal pengangkut China belayar berhampiran Taiwan, tetapi kali ini ia berlaku ketika ketegangan antara Taipei dan Beijing semakin memuncak.

Taiwan sering kali mengecam aktiviti ketenteraan dilakukan China, termasuk lintas terbang jet pejuang republik itu, manakala menurut China, latihan seumpama itu penting bagi mengawal kedaulatan negara.

Kementerian Pertahanan Taiwan berkata, Shandong yang diiringi empat kapal perang belayar dari pelabuhan Dalian di utara China pada Khamis.

Selepas melepasi Selat Taiwan yang sempit pada Ahad, kapal pengangkut itu meneruskan perjalanan ke arah selatan, kata kementerian itu.

Pasukan tentera laut China hari ini berkata, kapal pengangkut pesawat itu sedang dalam perjalanan melakukan latihan ketenteraan di Laut China Selatan.

China sebelum ini berkata, pelayaran dibuat kapal pengangkut itu adalah aktiviti rutin yang dilakukan setiap kali latihan ketenteraan di Laut China Selatan.

Kementerian Taiwan berkata, enam kapal perang dan lapan pesawat tentera udara dikerah ke lokasi, bagi mengawasi keadaan serta pergerakan kapal China itu. - AGENSI

Berita Harian X