Ahad, 13 Disember 2020 | 12:51pm
Korea Selatan mungkin mengetatkan lagi langkah pencegahan COVID-19 susulan peningkatan mendadak jangkitan dua hari berturut-turut. FOTO AFP
Korea Selatan mungkin mengetatkan lagi langkah pencegahan COVID-19 susulan peningkatan mendadak jangkitan dua hari berturut-turut. FOTO AFP

COVID-19: Jangkitan di Korea Selatan terus meningkat

SEOUL: Korea Selatan merekodkan 1,030 kes COVID-19 baharu hari ini, angka tertinggi untuk hari kedua berturut-turut ketika negara itu bergelut mengekang gelombang ketiga jangkitan berkenaan.

Negara itu sebelum ini menjadi model bagaimana menentang pandemik, dengan orang ramai kebanyakannya mematuhi penjarakan fizikal dan peraturan lain.

Bagaimanapun, kemunculan semula kes COVID-19 berpusat di ibu negara dan kawasan sekitarnya memaksa Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in memohon maaf di Facebook kerana kegagalan pentadbirannya mengekang gelombang terbaru itu.

Semalam, beliau menyifatkan situasi semasa sebagai sangat buruk selepas pihak berkuasa merekodkan 950 kes baharu, tertinggi sejak pandemik itu bermula.

Rekod itu dipecahkan hari ini dengan 1,002 kes jangkitan tempatan, 786 daripadanya dikesan di Seoul yang didiami separuh daripada keseluruhan 52 juta rakyat Korea Selatan.

Lonjakan kes di Korea Selatan berlaku walaupun kerajaan mengetatkan peraturan penjarakan fizikal di Seoul awal minggu ini, antaranya melarang perhimpunan lebih 50 orang dan kehadiran penyokong di program sukan, manakala restoran perlu ditutup pada jam 9 malam.

Namun, pihak berkuasa semalam memaklumkan mungkin perlu mengetatkan lagi peraturan ke peringkat tertinggi dengan menutup sekolah, melarang himpunan lebih 10 orang dan hanya membenarkan perkhidmatan penting bekerja.

Korea Selatan antara negara di luar China yang teruk terkesan dengan COVID-19 di awal penularan pandemik itu, namun berjaya mengawalnya menerusi pendekatan 'kesan, uji dan rawat'.

Negara itu tidak pernah melaksanakan perintah berkurung seperti di kebanyakan Eropah dan beberapa bahagian lain di seluruh dunia. - AFP

Berita Harian X