Sabtu, 12 Disember 2020 | 6:13pm
Orang ramai berjalan melewati sebaris gerai di Seoul yang ditutup berikutan peningkatan kes COVID-19 di Korea Selatan. - Foto AFP
Orang ramai berjalan melewati sebaris gerai di Seoul yang ditutup berikutan peningkatan kes COVID-19 di Korea Selatan. - Foto AFP

Korea Selatan catat kes positif COVID-19 harian tertinggi

SEOUL: Korea Selatan merekodkan angka jangkitan harian tertinggi setakat hari ini, yang disumbangkan peningkatan mendadak di wilayah ibu negara.

Situasi itu sekali gus mengundang ketakutan dalam kalangan rakyat sama ada kerajaan mampu atau tidak mengawal jangkitan di negara itu.

Pegawai mengumumkan sebanyak 950 jangkitan baharu direkodkan selepas beberapa hari mencatatkan kes harian antara 500 hingga 600.

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit (KDCA), sebanyak 669 kes positif disumbangkan dari Seoul hari ini.

Jangkitan meluas di Seoul yang memiliki kawasan berpopulasi padat dan menjadi tempat tinggal kepada separuh daripada 52 juta keseluruhan rakyat Korea Selatan.

"Ini adalah halangan terakhir sebelum siapnya vaksin dan rawatan," kata Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dalam satu kenyataan sambil menganggap situasi ketika ini amat serius.

"Kerajaan akan berusaha sedaya upaya menggunakan kekuatan pentadbiran sepenuhnya untuk mengendalikan penyebaran jangkitan," katanya.

Tambahan 150 pusat ujian didirikan di kawasan dengan pergerakan orang ramai termasuk di stesen kereta api.

Angka baharu itu muncul walaupun kerajaan mengetatkan peraturan penjarakan sosial di kawasan ibu kota pada awal minggu ini.

Langkah itu merangkumi larangan mengadakan perhimpunan lebih 50 orang dan penonton di acara sukar.

Kafe hanya dibenarkan menyajikan makanan ringan sementara restoran mesti ditutup pada jam 9 malam dengan perkhidmatan penghantaran dibolehkan selepas itu.

"Walaupun terdapat perubahan, pergerakan orang ramai tidak dapat dikurangkan dengan ketara.

"Jangkitan dari pertemuan bersemuka secara peribadi masih berterusan... tolong batalkan semua pertemuan terbabit," kata pegawai KDCA, Lim Sook-young dalam taklimat media.

Dengan kes yang direkodkan hari ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu melebih 36,800.

Korea Selatan antara negara yang terjejas teruk akibat COVID-19 pada peringkat awal, selain China.

Bagaimanapun, secara keseluruhannya situasi di negara berkenaan masih terkawal dengan pelaksanaan langkah jejak, uji dan rawat.

Negara berkenaan juga tidak pernah melaksanakan perintah berkurung seperti dilakukan di negara Eropah dan lain-lain bahagian dunia. - AFP

Berita Harian X