Jumaat, 11 Disember 2020 | 8:09pm
Antara jet pejuang yang menyertai siri kesembilan Latihan Udara Bersama tahunan Pakistan-China, Shaheen(Eagle)-IX. - Foto AFP
Antara jet pejuang yang menyertai siri kesembilan Latihan Udara Bersama tahunan Pakistan-China, Shaheen(Eagle)-IX. - Foto AFP

China, Pakistan adakan latihan tentera dekat sempadan India

ISLAMABAD: Tindakan mengadakan latihan tentera udara  China-Pakistan berhampiran sempadan India dilihat sebagai cubaan menunjukkan kuasa ketenteraan, sekali gus menegangkan lagi hubungan China-India.

Angkatan Tentera Udara Pakistan, dalam satu kenyataan, berkata latihan tentera udara antara 'Shaheen (Eagle)-IX' dengan kontinjen Tentera Udara China di padang pasir wilayah Sindh selatan Pakistan itu akan berterusan hingga hujung tahun.

Pegawai pertahanan berkata, ia bertujuan memperbaiki tahap latihan tempur sebenar selain memberi peluang meningkatkan saling hubungan antara kedua-dua angkatan tentera udara itu.

Shaheen(Eagle)-IX adalah siri kesembilan Latihan Udara Bersama tahunan diadakan antara kedua-dua negara tetapi ini adalah kali pertama lokasinya terlalu hampir dengan sempadan India.

Latihan bermula Rabu lalu itu dilakukan seminggu selepas Menteri Pertahanan China, Jeneral Wei Fenghe, mengunjungi Pakistan dan menandatangani memorandum persefahaman bagi mengeratkan kerjasama ketenteraan.

China sudah angkatan jet pejuang termasuk pesawat tempur generasi keempat, Shenyang J-11 dan jet pelbagai guna Chengdu J-10.

Pakistan pula menggunakan gabungan pesawat pemintas Chengdu F-7 buatan China, jet pejuang Mirage 5 buatan Perancis serta JF-17 Thunder yang dihasilkan bersama oleh Pakistan dan China.

Berdasarkan laporan Nikkei Asia, angkatan tentera udara Pakistan yang merangkumi pesawat buatan Amerika Syarikat (AS), Perancis dan China, kini semakin bergantung kepada China.

Pakistan dan India, yang juga negara kuasa nuklear, sudah berperang beberapa kali dan terbabit dalam pertempuran di sempadan terutama wilayah Kashmir.

India baru-baru ini menjadi tuan rumah latihan angkatan tentera laut Malabar 2020 dengan AS, Jepun dan Australia, sekali gus menghidupkan semula 'Quad' iaitu pertubuhan bebas terdiri daripada empat negara itu.

Quad kini dilihat sebagai benteng demokratik terhadap ketegasan China yang semakin memuncak di Asia Pasifik.

India juga menandatangani rangkaian perjanjian keselamatan, mulai daripada perkongsian risikan hingga sokongan logistik, dengan rakan Quadnya. - AGENSI

Berita Harian X