Isnin, 30 November 2020 | 5:49pm
Orang ramai dilihat melintas jalan di daerah Hongdae di Seoul. Korea Selatan tidak memperketatkan langkah kawalan walaupun kes COVID-19 bertambah serius. - Foto AFP
Orang ramai dilihat melintas jalan di daerah Hongdae di Seoul. Korea Selatan tidak memperketatkan langkah kawalan walaupun kes COVID-19 bertambah serius. - Foto AFP

Korea Selatan tidak ketatkan kawalan COVID-19 walaupun gelombang ketiga

SEOUL: Kerajaan Korea Selatan sekali lagi menolak syor memperketatkan langkah kawalan COVID-19 termasuk penjarakan fizikal, di bawah dasar yang diwujudkannya sendiri walaupun ancaman wabak itu bertambah serius.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Chung Sye-kyun, mengumumkan keputusan untuk kekal pada tahap tiga dalam sistem penjarakan fizikal lima tahap itu, sebagai langkah mengurangkan kesan ekonomi terhadap rakyat akibat terlalu banyak kekangan.

"Ini bukan suatu keputusan yang kekal, ia boleh berubah seiring perkembangan semasa kerana saya akui Korea Selatan kini berdepan apa yang dikatakan krisis paling serius sejak gelombang pertama COVID-19 pada Mac lalu.

"Kini, rakyat mesti menerajui perjuangan melawan COVID-19 dengan mematuhi langkah kawalan yang diperlukan bagi mengekang penularan wabak ini.

"Hanya pendekatan ini dapat menjamin kemenangan kita menentang virus," katanya yang juga ketua ibu pejabat tindak balas COVID-19 Korea Selatan.

Jumlah jangkitan baharu COVID-19 di Korea Selatan susut kepada 450 kes semalam selepas merekodkan lebih 500 kes selama tiga hari berturut-turut.

Pakar menegaskan kerajaan gagal mematuhi garis panduan penjarakan fizikal yang menetapkan kriteria bagi melonggarkan dan mengetatkan sekatan berdasarkan pertimbangan seperti kadar kes dan faktor epidemiologi lain.

Pakar penyakit berjangkit Gil Hospital di Universiti Gachon, Dr Eom Joong-sik, berkata Korea Selatan terlalu kerap bertolak ansur melonggarkan langkah kawalan COVID-19 terutama penjarakan fizikal.

"Negara ini lebih mengutamakan kepentingan ekonomi berbanding kesihatan rakyat walaupun syarat minimum bagi melonggarkan langkah kawalan tidak dicapai dalam kebanyakan kes.

"Justeru, kes akan terus meningkat pada minggu seterusnya terutama dengan ketibaan musim sejuk.

"Hakikatnya, kita tiada pilihan lain kecuali memperketatkan langkah mitigasi melawan virus kalau mahu membendung penularan COVID-19 ini," katanya.

Berdasarkan garis panduan yang sudah dilonggarkan berkuasa awal bulan ini, Korea Selatan memenuhi syarat untuk melaksanakan kawalan tahap kedua paling ketat.

Purata tujuh hari kes bagi kes baharu harian berkaitan penularan dalam komuniti mencatatkan lebih 400 kes pada minggu lalu manakala secara kumulatif, Korea Selatan ini mencatatkan 34,201 kes jangkitan COVID-19 termasuk 526 kematian.

Pada peringkat global, virus yang pertama kali dikesan di Wuhan, China itu sudah menjangkiti 63,122,055 orang dan mengorbankan 1,465,919 mangsa di 218 negara. - AGENSI.

Berita Harian X