Isnin, 30 November 2020 | 10:28am
 Jenazah saintis kanan nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh disembahyangkan sebelum dikebumikan di Qom, Tehran. - Foto AFP
Jenazah saintis kanan nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh disembahyangkan sebelum dikebumikan di Qom, Tehran. - Foto AFP

Iran timbang tindak balas pembunuhan saintis nuklear

TEHRAN: Polemik tercetus di Iran semalam mengenai bagaimana untuk bertindak balas terhadap pembunuhan saintis kanan nuklear negara itu yang didakwa dilakukan Israel, ketika jenazahnya diberi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan.

Dua hari selepas kematian Mohsen Fakhrizadeh dalam insiden berbalas tembak antara pengawalnya dan individu tidak dikenal pasti berhampiran Tehran, Parlimen Iran menggesa penggantungan pemeriksaan antarabangsa di tapak nuklear Iran, manakala seorang pegawai kanan membayangkan Iran perlu keluar daripada triti pengawal senjata nuklear global.

Kebiasaannya, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran membuat keputusan berkait program nuklear negara itu dan rang undang-undang perlu mendapat kelulusan Guardians Council.

Presiden Iran, Hassan Rouhani menegaskan negara itu akan membalas dendam apabila tiba masanya dan tidak akan tergesa-gesa sehingga masuk ke dalam perangkap.

Israel berkata, Fakhrizadeh adalah ketua program nuklear tentera Iran, yang dinafikan kewujudannya oleh republik Islam itu, dan Washington pernah menghukumnya pada 2008 berkait aktiviti atom.

Jenazah saintis itu diberi penghormatan dalam satu majlis di bandar suci Qom semalam, menurut laporan media Iran, manakala laman sesawang Kementerian Pertahanan memaklumkan pengebumiannya akan diadakan hari ini dengan kehadiran komander kanan tentera serta ahli keluarganya.

Israel belum mengulas secara rasmi pembunuhan Fakhrizadeh yang berlaku dua bulan sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) yang dipilih, Joe Biden akan dilantik secara rasmi.

Donald Trump sebelum ini mengeluarkan AS daripada perjanjian nuklear pelbagai hala dengan Iran pada 2018 dan mengenakan semula sekatan yang lebih ketat untuk menekan Iran.

Biden memberi bayangan mengenai kesediaan pentadbirannya menyertai semula perjanjian berkenaan, namun pembunuhan saintis Iran itu mencetus bantahan terhadap perjanjian terbabit dalam kalangan konservatif Iran.

Ketua 'Expediency Council' Iran, Mohsen Rezai, berkata tiada sebab negara itu tidak perlu mempertimbangkan semula Triti Pengawalan Senjata Nuklear (NPT). - AFP

Berita Harian X