Sabtu, 28 November 2020 | 9:27pm
Pilihan raya pertama Kashmir sejak status khas wilayah itu dilucutkan pada tahun lalu menyaksikan tahap keselamatan diperketat. - Foto EPA
Pilihan raya pertama Kashmir sejak status khas wilayah itu dilucutkan pada tahun lalu menyaksikan tahap keselamatan diperketat. - Foto EPA

Tahap keselamatan diperketatkan bagi pilihan raya pertama Kashmir

INDIA: Pengundi di Kashmir yang ditadbir oleh kerajaan India melaksanakan tanggungjawab membuang undi hari ini dalam situasi tahap keselamatan diperketatkan.

Ia adalah pilihan raya pertama sejak status khas wilayah itu dilucutkan pada tahun lalu.

Tindakan berjaga-jaga diambil dengan puluhan anggota polis dan separa tentera lengkap dengan mesingan berkawal di pusat pengundian susulan kebimbangan berlakunya serangan oleh puak pemisah militan.

Menurut pemerhati, hanya sejumlah kecil anggota keselamatan yang berkawal berikutan kebimbangan COVID-19, selain ada kawasan yang diliputi salji.

Proses pengundian akan berlangsung selama lapan hari sehingga 19 Disember ini, dengan proses pengiraan bermula tiga hari kemudian.

Wilayah Himalaya yang turut dituntut oleh Pakistan dikawal ketat sejak parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata (BJP) melucutkan status khas Kashmir dalam perlembagaan pada Ogos tahun lalu.

Sehari sebelum hari pengundian, pihak berkuasa menyekat pemimpin Parti Demokratik Rakyat (PDP), Mehbooba Mufti supaya kekal berada di rumah, bahkan polis turut menghalang wartawan mengikuti sidang media yang dianjurkan.

Mufti antara sebilangan besar pemimpin politik yang ditahan di rumah selama berbulan-bulan.

Kashmir terpisah antara India dan Pakistan ketika mencapai kemerdekaan pada 1947.

Kedua-dua negara menuntut wilayah berkenaan sepenuhnya. - AFP

Berita Harian X