Sabtu, 28 November 2020 | 11:40am
Anggota tentera India berkawal di Kashmir. - Foto EPA
Anggota tentera India berkawal di Kashmir. - Foto EPA

3 askar India terbunuh dalam serangan dilancarkan Pakistan

SRINAGAR : Sekurang-kurangnya tiga askar India terbunuh dalam serangan berbalas tembakan dan bedilan bom mortar dengan askar Pakistan.

Jurucakap tentera India, Lt Kol Devender Anand, berkata pertempuran berlaku semalam di kawasan Kashmir yang dikuasai India.

"Dua askar terbunuh apabila tentera Pakistan melakukan pelanggaran tanpa provokasi ke atas perjanjian gencatan senjata 2003, di daerah Rajouri selatan.

"Seorang lagi pegawai tentera India terbunuh dalam kes tembakan oleh tentera Pakistan di daerah jiran, Poonch, kelmarin

"Tentera India turut bertindak membalas serangan dengan melepaskan tembakan terhadap musuh," katanya.

Susulan kejadian itu, Pakistan belum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Pada masa lalu, kedua-dua negara menuduh antara satu sama lain berkenaan siapa yang memulakan pertempuran di sempadan dekat wilayah Himalaya yang dituntut India dan Pakistan secara keseluruhan.

Pada 13 November lalu, sembilan orang awam selain enam askar terbunuh di Kashmir apabila tentera India dan Pakistan berbalas tembakan meriam artileri di beberapa lokasi sepanjang sempadan kawalan negara berkenaan.

Tragedi itu mencatatkan kematian paling tinggi dilaporkan dalam tempoh sehari sejak beberapa tahun kebelakangan ini. -AGENSI

Berita Harian X